KALAU bab tidur, kucing memang boleh terlelap di mana sahaja termasuk di atas katil tuannya, sofa, belakang almari malah dalam kotak pasirnya! Anda pasti tertanya-tanya mengapa kucing sanggup tidur di dalam kotak pasir? Apakah ada alasan di sebaliknya yang membuatkan si bulus tidak kisah melelapkan mata di tempat ia 'membuang'.ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sahaja bersihkan diri, ada sebab lain mengapa si bulus suka menjilat dirinya Berikut adalah beberapa alasan mengapa kucing tidur di dalam kotak pasir. 1. Bau 'familiar' buat kucing tenang Kucing yang gemar tidur di dalam kotak pasir disebabkan baunya membuatkan ia berasa tenang. Jika anda baru memiliki kucing yang masih tidak biasa dengan persekitaran baharunya, maka ia mungkin akan lebih kerap meluangkan masa di dalam kotak pasir. Ia boleh jadi, kucing berasa ketakutan dan bau dirinya di dalam kotak pasir dapat membuatkan ia tenang. Bagi mengubah tabiat itu, pemilik boleh sentiasa mengubahnya ke tempat lain dan biarkan ia membiasakan diri sehingga ia berasa selesa. Jika ia suka dipeluk, pastikan anda sering memeluknya dan memberinya perhatian yang cukup untuk mewujudkan kepercayaan dan menunjukkan anda menyayanginya. 2. Menanda wilayah Jika anda memiliki lebih daripada seekor kucing dan hanya beberapa kotak pasir, salah satu kucing akan cuba menanda wilayahnya dengan tidur di dalam salah satu kotak pasir tersebut. Untuk mengatasi masalah ini, pemilik harus membeli lebih banyak kotak pasir sekaligus dapat menyelesaikan masalah merebut wilayah di antara kucing. 3. Masalah kesihatan Tabiat kucing kerap duduk di dalam kotak pasirnya disebabkan si bulus mungkin sedang mengalami masalah kesihatan seperti penyakit buah pinggang, jangkitan pundi kecing dan masalah penghadaman. Ia lebih selesa duduk di dalam kotak pasir kerana apabila ia mengalami jangkitan pundi kecing, si bulus mungkin sukar untuk membuang air kecil sehingga membuatkan ia tidak bertenaga. Disebabkan itu, kucing lebih selesa duduk dan tidur di dalam kotak pasir bagi memudahkan ia 'membuang' apabila terasa hendak berbuat demikian. Tanda-tanda jangkitan pundi kencing termasuk kucing dilihat terseksa membuang air kecil, menangis ketika membuang air kecil, darah dalam urin, menjilat bahagian perut dan mudah marah. 4. Bersalin Jika kucing anda yang sedang bunting tiba-tiba gemar tidur di dalam kotak pasir, ia mungkin petanda ia bakal melahirkan anak. Ia memilih kotak pasir disebabkan tiada tempat sesuai untuk melahirkan anak. Sebaik-baiknya, sediakan kotak yang dilapik dengan surat khabar dan kain di atasnya. Letakkan kotak itu ditempat yang tersembunyi agar membuatkan kucing betina dapat melahirkan dalam keadaan selesa dan berasa selama. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI