suria

Nak cari gaduh ke? Ranking nasi lemak level OK buat ramai bengang... anggap ada agenda burukkan menu kesukaan rakyat Malaysia!

Undian yang dilakukan TasteAltas meletakkan nasi lemak dalam kategori OK.

NASI Lemak adalah hidangan sarapan, malahan turut dijamah sepanjang hari yang cukup popular dalam kalangan masyarakat di negara ini sehingga ia diangkat sebagai makanan nasional!

Makanan itu cukup dekat dengan hati masyarakat Malaysia malah ia menjadi pengikat bagi semua bangsa di negara ini tidak kira latar belakang dan fahaman politik.

ARTIKEL BERKAITAN: Betul ke daun sireh, asam jawa mampu rawat masalah kulat si bulus?

Jika ada yang cuba menghina makanan nasional ini, rakyat negara ini tidak teragak-agak untuk membuat serangan dan mempertahankan hidangan kebanggaan rakyat Malaysia ini.

Pelancong asing yang datang ke negara ini juga seringkali memasukkan nasi lemak sebagai juadah yang wajib dicuba dan jika dilihat menerusi video reaksi, mereka amat menyukainya.

275424348_3190226894546325_5435950590189568651_n

Senarai undian yang dikeluarkan oleh Taste Altas.

Ia disifatkan hidangan ringkas tetapi cukup menyelerakan apatah lagi nasinya yang beraroma dan dilengkapi dengan sambal ikan bilis, telur, timun dan kacang.

Tetapi dalam kebanggaan kita terhadap nasi lemak, sebuah laman Facebook iaitu TasteAtlas telah membangkitkan kemarahan rakyat negara ini apabila menyenaraikan makanan itu sebagai OK sahaja.

TasteAtlas dalam posting itu berkongsi kedudukan makanan terbaik di seluruh Asia Tenggara dan membahagikannya menerusi empat kategori iaitu Worst (3.5 bintang dan ke bawah), OK (3.5 bintang dan ke atas), Great (4 bintang dan ke atas) dan Best (4.5 bintang dan ke atas).

Bukan sahaja nasi lemak satu-satunya makanan dari Malaysia yang tersenarai malah ia diletakkan dalam kedudukan OK dengan markah 3.9 bintang.

Berbanding dengan Indonesia, tiga makanannya berada dalam tiga kategori berbeza termasuk bubur ayam dalam kategori Best dengan 4.7 bintang.

Bubur_ayam_chicken_porridge

Bubur ayam dari Indonesia antara top 3 makanan dalam kategori Best.

Selain bubur ayam, satay pula dalam kategori Great dengan 4.2 bintang dan acar (3.2 bintang) dalam kategori Worst.

Dua makanan lain dalam kategori Best adalah Lumpiang Shanghai (Filipina) dan Tortang Talong (Filipina) selain Pho (Vietnam) dan Pad Thai (Thailand) dalam kategori Great.

Turut berada dalam kategori sama dengan Malaysia adalah Chili Crab (Singapura) dan Banh Xeo (Vietnam).

Sementara itu, meskipun TasteAtlas menjelaskan kedudukan itu adalah hasil undian pengikut laman Facebook mereka, ramai tidak berpuas hati dan menganggap undian itu tidak adil.

Nasi-Lemak1

Nasi lemak tetap juara di hati masyarakat Malaysia.

Malah ada mendakwa, undian itu adalah sebagai 'target' terhadap negara dan bukannya tentang makanan.

Dalam perkembangan sama, netizen dari Malaysia menyifatkan undian itu sebagai berat sebelah dan tidak mewakili suara penduduk Asia Tenggara sepenuhnya.

Ramai beranggapan undian itu tidak penting kerana nasi lemak tetap menjadi hidangan terbaik sekurang-kurangnya di Malaysia dan Singapura.

"Hakikat bubur ayam antara tiga makanan terbaik bukti kedudukan TasteAtlas ini boleh dipersoalkan. Semua pun tahu, ramai makan bubur ayam hanya ketika sakit atau comfort food.

"Tidak kira apa yang dikatakan mengenai nasi lemak, ia tetap makanan terbaik," tulis netizen di ruang komen.

Serangan itu bukan sahaja dari masyarakat Malaysia malah dari Filipina, Singapura dan Vietnam yang menganggap undian itu berat sebelah.

"Bagaimana anda boleh samakan makanan seperti Balut dan menu lain yang menjadi makanan harian? Ia tidak adil," tulis netizen dari Filipina.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain