suria

Pemuda tanam sayur organik atas bumbung mall, pelanggan boleh pilih dan petik sendiri... Ikan talapia merah pun ada!

file7kgon4xi15vhva1a8as

PENGAMBILAN sayur-sayuran dalam diet seharian penting dalam memastikan tubuh dibekalkan dengan nutrisi berkhasiat.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan kita yang tidak gemar makan sayur-sayuran selain faktor sukar mendapatkan bekalan segar terutamanya di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Rancang nak beli hartanah? Tentunya Nextsix aplikasi terbaik...pelopori GPS, teknologi AI mudahkan urusan pemburu rumah!

Apa lebih membimbangkan adalah kebanyakan sayuran yang berada di pasaran ditanam menggunakan racun serangga dan dipetik sekurang-kurangnya tiga ke lima hari sebelum ia sampai di pasaran untuk dijual.

Dalam tempoh masa itu, sayuran tersebut sudah kehilangan 50 peratus daripada nutrisinya dan menyebabkan khasiatnya menjadi rendah dan berisiko untuk menimbulkan pelbagai penyakit disebabkan penggunaan racun serangga.

Emil

Emil mahu memberi pelanggan pengalaman memetik sendiri sayuran di 'kebun'.

Menyedari tentang masalah ini, seorang pemuda iaitu Emil Jihad mengambil inisiatif membuka sebuah perniagaan diberi nama Fresh Growcer yang menghasilkan sayur-sayuran ditanam sendiri tanpa menggunakan racun serangga perosak.

Pemiliknya, Emil Jihad berkata, di Fresh Growcer mereka tidak hanya menanam dan menjual sayur-sayuran sebaliknya turut memberi peluang kepada pelanggan memetik sendiri jenis sayuran disukai.

"Di Fresh Growcer tanaman masih hidup di dalam sistem penanaman dan pelanggan dapat memilih dan memetik apa yang merka suka.

"Dengan cara ini, sayur-sayuran dipetik masih segar dan tidak berlaku sebarang kehilangan nutrisi malah pelanggan boleh melihat sendiri bahawa racun serangga langsung tidak digunakan kerana ikan di dalam kolan tidak boleh hidup dalam sistem itu," katanya kepada mStar.

file7kgong8f7va11bmfk8as

Pokok basil yang segar tidak menggunakan racun serangga.

Sementara itu, Emil berkata, menerusi perniagaan yang dibuka sejak awal Mac lalu, dia mempraktikkan konsep 'green and sustainable farming' di mana ia menggabungkan tahap biodiversiti yang tinggi dengan alam sekitar yang memelihara sumber semula jadi.

Jelas Emil, di Fresh Growcer, mereka menggunakan sistem akuaponik di mana najis daripada ikan menjadi baja kepada sayur-sayuran yang ditanam.

"Air di dalam sistem tersebut pun dikitar semula malah penggunaan elektrik juga rendah disebabkan lokasinya, di mana terdapat banyak sumber cahaya matahari semula jadi," jelasnya.

Fresh Growcer dibuka di atas bumbung pusat beli-belah One Utama di Petaling Jaya yang akan memberi pengalaman menarik kepada pelanggan yang berkunjung ke situ.

Fresh Growcer terletak di atas bumbung pusat beli-belah One Utama. Foto/The Star SHAARI CHE MAT

Siapa sangka semua sayur-sayuran segar ini ditanam di atas bumbung sebuah pusat beli-belah!

Berkongsi mengenai idea pembukaan perusahaan itu, Emil berkata, dia bersama pengasas bersama, Tony Yong terpanggil apabila sedar tentang risiko kesihatan disebabkan penggunaan racun serangga terhadap tanaman.

Selain itu juga, terdapat banyak sisa daripada mengimport yang memberi kesan negatif terhadap alam sekitar disebabkan oleh penghasilan karbon daripada aktiviti membekal sebelum ini.

"Pelanggan memahani manfaat makan sayuran tanpa racun serangga dan mereka juga gembira dapat merasai pengalaman memetik sendiri sayur-sayuran yang tumbuh di tengah-tengah bandar," jelasnya.

Terdapat pelbagai jenis sayur-sayuran dari Asia yang ditanam di situ termasuklah bayam merah, sawi Jepun, sawi Hong Kong, dan sawi susu selain salad Romain, kale, arugula dan salad butterhead.

Selain itu, beberapa jenis sayuran lain yang sedang membesar adalah seperti cili api, ketumbar dan daun bawang.

Pelanggan

Pelanggan teruja dapat memetik dan memlilih sendiri sayuran yang mereka gemari.

Emil menjelaskan, meskipun sayur-sayuran itu ditanam di atas bumbung namun pihaknya telah menyediakan tempat khas untuk mengawal 'kebun' daripada sinaran cahaya matahari secara langsung, pencemaran dan juga masalah serangga perosak.

Menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan 100 peratus sayuran berkhasiat kepada semua pengguna Fresh Growcer.

Tidak hanya menjual sayuran, di pasar raya ini juga turut menjual ikan hidup seperti talapia merah, buah-buahan, bunga dan pokok hiasan serta produk tanaman organik.

Bagi yang ingin membeli ikan, Emil memberitahu, pekerja akan menangkap, memotong dan membersihkan ikan tersebut sebelum dibawa pulang.

file7kgoo2t92n5r7jpp8as

Ikan hidup turut dijual di Fresh Growcer.

Dalam perkembangan sama, Emil memberitahu pelbagai perancangan bakal dibuat pada masa akan datang dalam usaha mengembangkan perniagaan tersebut seperti menambah jenis tanaman dan memperbanyakkan lagi jualan makanan laut.

"InsyaAllah dalam masa terdekat kami akan tambah makanan laut segar seperti udang harimau, ikan patin dan jade perch selain menanam beberapa tanaman lain.

"Hasrat untuk menambah cawangan Fresh Growcer itu memang ada tetapi buat masa ini biarlah saya fokus di One Utama terlebih dahulu dan terima kasih kepada pihak One Utama kerana beri peluang kepada kami untuk bina 'kebun' di rooftop 1UE dan berkongsi dalam visi mereka untuk mempromosikan sustainable farming, " katanya.

Bagi yang ingin merasai pengalaman memetik sayur-sayuran segar, boleh berkunjung ke Fresh Growcer di Tingkat 3 (Rooftop), 1UE, One Utama dari pukul 11 pagi hingga 8 malam.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain