TANGGAL 16 Mei merupakan tarikh seluruh rakyat Malaysia menyambut Hari Guru bagi menghargai dan memperingati jasa mereka. Profesion guru juga dianggap mulia kerana tidak semua orang mampu menggalas peranan dan tugasnya yang mencabar. Guru memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan generasi yang berjaya, aktif, dan mempunyai adab yang tinggi dan ini sangat bersesuaian dengan peribahasa, guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi kehidupan orang lain. ARTIKEL BERKAITAN: Buli di tempat kerja perlu dihentikan, ada akta undang-undang lindungi pekerja Kesabaran, kebaikan, dan semangatnya mencurahkan ilmu tidak akan dilupakan bagi setiap pelajar sehingga wujudnya hari istimewa buat golongan ini. Bukan sahaja ditujukan khas buat guru sekolah, pensyarah universiti, cikgu memandu dan tenaga pengajar di kursus-kursus kemahiran juga merupakan guru yang harus disayangi dan dihargai. Berikut merupakan ciri-ciri guru yang dapat dikenang sepanjang zaman yang boleh anda contohi dan aplikasikan dalam kehidupan seharian: 1. Layanan sama rata terhadap pelajar Setiap murid mempunyai karakter yang berbeza. Ada yang cepat menghafal sifir, ada juga yang lambat memahami pembinaan ayat dalam Bahasa Melayu. Namun, perkara ini bukan masalah besar bagi mereka yang bergelar guru. Mereka lebih suka mengubah pelajar tersebut walaupun bukan merupakan kepentingan bagi masa depannya. Bagi pelajar yang lambat memahami sesuatu pembelajaran, perhatian yang lebih akan diberikan untuk memastikan kejayaan anak muridnya itu. Perbezaan pelajar ini tidak akan membuatkan guru memberikan layanan yang berbeza. Guru tidak akan mengasihi pelajar yang cepat belajar mahupun yang lambat belajar walaupun nampak seperti memberikan perhatian yang lebih. Niat mereka hanya untuk menjadi pembimbing kepada anak muridnya supaya dapat mengecapi kejayaan pada masa depan. 2. Sentiasa menunjuk ajar perkara asas Ada guru yang sangat perfectionist, sehingga ada pelajar yang tidak boleh mengikuti rentak mereka. Misalnya, menghantar tugasan tepat pada waktu atau menunjukkan tulisan yang kemas dalam setiap latihan yang diberikan. Guru yang perfectionist ini sukar untuk bertoleransi walaupun melakukan kesalahan yang kecil. Menurut mereka, setiap murid perlu menyelesaikan tugasannya dengan rapi dan teliti supaya hasilnya sempurna. Karakter guru seperti ini sebenarnya mempunyai kebaikan dalam membentuk pelajar menjadi insan yang berguna. Nilai seorang guru ini mampu memupuk pelajar berusaha melakukan sesuatu perkara dalam keadaan yang lengkap dan kemas. 3. Tidak menghukum kesalahan pelajar secara berlebihan Kadangkala guru harus mengajar pelajarnya yang tidak berdisiplin tentang kesalahan yang telah dilakukan seperti datang lewat ke sekolah, membuli, atau bergaduh. Peranan guru adalah untuk menunjukkan rasa peduli dan bukannya menghukum kesalahan pelajar. Cuba untuk bertanyakan alasan berkaitan masalah disiplinnya itu dan memberikan nasihat supaya mereka lebih jelas mengapa perkara itu salah. Dilarang memaki dan mengungkit secara terus menerus sesama sekali kerana perbuatan itu mungkin akan diikuti atau dicontohi pelajar kelak. Marah pelajar tersebut dengan niat untuk mengajar mereka dan bukannya untuk melepaskan kemarahan anda. Bersikap seperti ini hanya akan membuatkan profesionalisme anda sebagai guru dipersoalkan. 4. Selalu memberikan penghargaan Para pelajar sangat sukakan penghargaan tidak kiralah pujian, sokongan mahupun semangat baginya untuk terus memajukan diri ke hadapan. Penghargaan ini dilakukan untuk menghargai usaha keras pelajar dalam memperolehi markah yang bagus dan cemerlang. Dalam proses pembelajaran sangat penting untuk menerapkan penghargaan untuk membuatkan seseorang semangat untuk menunjukkan sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya. Bagi pelajar yang tidak berjaya, guru harus memainkan peranan dengan memberikan sokongan yang lebih supaya mereka tidak putus asa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, kebanyakan sekolah menganjurkan hari anugerah bagi menghargai keputusan cemerlang setiap pelajar. Bagi pelajar yang tidak dapat menjadi sebahagian daripada penerima anugerah, mereka boleh ambil sebagai cabaran untuk turut serta pada tahun berikutnya. 5. Menjaga pertuturan Perkara asas seperti menjaga pertuturan atau cara berkomunikasi ini bukan sahaja perlu dikawal oleh guru, malah bagi setiap masyarakat Malaysia supaya lebih beradab. Guru adalah golongan yang sesuai untuk mengajarkan adab bertutur bagi pelajar pada usianya yang awal. Pelajar juga mudah menerapkan adab ini kerana sering berjumpa dengan guru. Ini dapat melahirkan masyarakat yang lebih beradab dan menjaga pertuturan walaupun dalam keadaan marah. Malah, cara penuturan anda mencerminkan diri yang sebenar. Pertuturan guru ini juga akan diingati bagi setiap pelajar walaupun mereka telah meningggalkan zaman persekolahannya. Ini kerana cara penyampaian mereka membuatkan pelajar mudah mendekati dan meninggalkan kesan yang positif buat anak didiknya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI