suria

4 cara mudah hilangkan tahi lalat pada pakaian, guna bahan sedia ada di rumah je!

Pakaian yang terkena tahi lalat masih boleh diselamatkan dengan menggunakan beberapa bahan di rumah sahaja.

KEBIASAANNYA apabila kita keluarkan pakaian lama dari almari pasti ada kesan atau tompokan tahi lalat.

Lebih menjengkelkan apabila bintik-bintik kecil ini berada pada baju-baju berwarna cerah atau putih.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan keliru antara tahi lalat dan kanser melanoma... ambil tahu perbezaannya

Tahi lalat atau sebenarnya kulat pada pakaian ini muncul disebabkan kelembapan pada kain.

Jika tidak mahu pakaian bertahi lalat pastikan helaian kain atau pakaian betul-betul kering terlebih dahulu sebelum dilipat dan disimpan dalam almari.

Namun, kalau sudah terkena tahi lalat jangan dibuang kerana ada cara boleh untuk menyelamatkannya.

Terdapat beberapa kaedah yang mudah boleh anda boleh cuba di rumah:

1. Cuka

Cuka adalah bahan semula jadi yang selamat dan berkesan untuk membunuh kulat serta menghilangkan baunya yang kurang menyenangkan.

Bukan itu sahaja, ia juga sesuai untuk anda yang mempunyai kulit sensitif atau mereka yang ingin mencuci pakaian bayi.

Cara-caranya:

a. Campurkan satu cawan cuka putih ke dalam satu baldi air.

b. Rendamkan selama sekurang-kurangnya satu jam.

c. Kemudian, cuci bahagian berkulat dengan menggunakan sabun pencuci atau detergen.

d. Gunakan air yang sedikit hangat (suam) semasa memberus dan membilas pakaian supaya kulat lebih mudah ditanggalkan.

e. Pada fabrik lain seperti sofa atau langsir yang bertahi lalat, masukkan larutan cuka ini ke dalam botol spray dan semburkan terus pada bahagian berkulat.

2. Soda bikarbonat

Anda boleh menggunakan soda bikarbonat sebagai salah satu cara menghilangkan tahi lalat pada pakaian.

Cara ini sangat efektif untuk digunakan dalam bentuk pes (dicampurkan terlebih dahulu) atau secara terus.

Seperti cuka, soda bikarbonat juga boleh menyerap bauan tidak menyenangkan yang keluar daripada kulat.

Cara-caranya:

a. Mulakan dengan membuat pes soda bikarbonat.

b. Campurkan sedikit air dan terus sapukan pes ini pada bahagian baju yang berkulat.

c. Biarkan seketika dan kemudian berus seperti biasa.

d. Jika kulat masih belum tertanggal atau hilang, anda boleh menambahkan sedikit cuka putih pada serbuk soda bikarbonat tersebut.

3. Jus lemon dan garam

Perahkan sebiji lemon dan campurkan jus lemon tersebut dengan sedikit garam sehingga ia menjadi pes.

Gunakan pes ini untuk disapukan pada bahagian yang bertahi lalat.

Cara-caranya:

a. Berus atau sental bahagian berkulat seperti biasa.

b. Rendam pakaian dalam larutan lemon dan garam bersama air suam selama 1 jam.

c. Bilas pakaian dengan air bersih.

4. Peluntur

Peluntur (bleach) adalah sebuah kompaun yang sangat kuat dan berkesan untuk membunuh kulat pada pakaian.

Namun atas sebab ia juga akan melunturkan warna maka cara ini hanya sesuai untuk pakaian berwarna putih sahaja.

Cara-caranya:

a. Larutkan sedikit peluntur bersama air dan gunakan berus untuk menanggalkan tahi lalat tersebut.

b. Taburkan sedikit sabun pencuci jenis serbuk.

c. Ulangi langkah ini beberapa kali sekiranya ia masih belum tanggal sekurang-kurangnya 20 minit.

d. Seeloknya, gunakan air yang sedikit hangat untuk membilas dan mencuci pakaian tersebut.

Setelah selesai mencuci pakaian yang terkena kulat, jemurkannya di bawah sinaran matahari untuk kesan lebih efektif.

Perkara sama boleh dielakkan berulang dengan mengeringkan dahulu pakaian yang berpeluh atau lembab sebelum dimasukkan ke dalam bakul baju kotor.

Pakaian yang terkena kotoran jika tertumpah susu atau makanan juga boleh direndam segera agar kotoran lebih senang ditanggalkan kelak.

Jadi seeloknya janganlah buang dulu baju-baju tersebut sebelum mencuba semua tip dinyatakan di atas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain