TIDAK dinafikan permainan video secara dalam talian begitu menyeronokkan untuk berhubung, bersaing dan berinteraksi dengan orang lain. Namun pada masa sama, ia juga boleh menjadi tempat memburu bagi pemangsa seksual yang menggunakan platform tersebut untuk mengintai remaja, demikian amaran Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI). "Permainan dalam talian membolehkan pemangsa memberi satu topik yang logik untuk memulakan perbualan dengan mangsa yang disasarkan, kerana minat mereka yang sama dalam permainan itu," kata FBI kepada Enough is Enough, sebuah badan bukan berorientasikan keuntungan yang terlibat dalam perjuangan untuk keselamatan internet. "Pemangsa mungkin menyamar sebagai orang dewasa yang mesra atau rakan sebaya yang sesuai dengan umur untuk menjalin hubungan dengan bakal mangsa. "Mereka sering berkawan dengan kanak-kanak dengan memberi mereka tip permainan atau menyediakan mata wang permainan," katanya. Permainan dalam talian membolehkan pemangsa memberi satu topik yang logik untuk memulakan perbualan dengan mangsa. -gambar hiasan foto Freepik / Master1305 Menurut Enough is Enough, ibu bapa boleh membantu mencipta pengalaman permainan dalam talian yang lebih selamat dan positif. Enough is Enough menerusi laman web Internetsafety101.org, menawarkan tip dan penjelasan tentang dunia permainan kepada ibu bapa. ARTIKEL BERKAITAN: Pedofilia umur 54 tahun berkenalan dengan kanak-kanak menerusi permainan Fortnite, kantoi hantar video lucah Menurut Persatuan Perisian Hiburan, 64 peratus isi rumah Amerika Syarikat (AS) memiliki peranti yang digunakan untuk bermain permainan video, dengan kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun membentuk lebih 28 peratus daripada semua pemain. Enough is Enough memberitahu, bahaya dan isu tambahan yang perlu dipertimbangkan oleh ibu bapa adalah keganasan dan kandungan seksual yang sering digambarkan dalam permainan, kehadiran pembuli siber yang menyasarkan pemain dan teknologi penyamaran suara yang membolehkan pemangsa menyamar suara sebenar mereka. Selain itu, kebimbangan lain adalah ketagihan permainan dalam talian, yang mungkin mengganggu interaksi dalam keluarga, kerja sekolah dan persahabatan. Ketagihan permainan dalam talian boleh mengganggu interaksi keluarga, kerja sekolah dan persahabatan. foto Freepik / Jcomp Jadi, apa yang ibu bapa boleh lakukan? Menurut Enough is Enough di laman webnya, ibu bapa harus bersikap proaktif dan mengajar anak-anak mereka dengan langkah-langkah perlindungan. Kanak-kanak dan remaja digalakkan untuk: Hanya bermain dan menggunakan sembang suara (voice chat) dengan rakan yang mereka kenali dalam kehidupan sebenar. Tendang keluar atau sekat mana-mana pemain yang membuatkan mereka berasa tidak selesa. Jangan sekali-kali berkongsi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti seperti tarkh lahir, alamat dan nama sekolah. Ibu bapa harus menetapkan tetapan privasi dan kawalan ibu bapa pada peranti permainan. foto Freepik / DCstudio Panduan untuk ibu bapa: Ibu bapa harus menetapkan tetapan privasi, penapis (filter) yang sesuai dengan umur dan kawalan ibu bapa (parental control) pada peranti permainan (atau menggunakan tetapan peranti jika permainan diakses oleh aplikasi). Ibu bapa juga harus belajar dan bermain permainan bersama-sama dengan anak mereka. Ini bertujuan untuk ibu bapa dapat memahami semua ciri dan potensi perangkap untuk membenarkan akses kepada permainan. - Staten Island Advance, N.Y./Tribune News Service Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI