suria

SMG lancar Anugerah Impak Positif, pacu agenda ESG di Malaysia

(Dari kiri) Alex Yeow bergambar bersama Noor Afifah, Bahria dan Eng Bin ketika pelancaran Anugerah Impak Positif ESG di Menara Star, Petaling Jaya pada Isnin. Foto: Faihan Ghani/The Star

STAR Media Group Bhd (SMG) buat julung kalinya melancarkan Anugerah Impak Positif ESG bagi menggalakkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), baru-baru ini.

Bertempat di Menara Star, Petaling Jaya, anugerah tersebut bertujuan untuk mengiktiraf syarikat-syarikat di Malaysia daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga ke syarikat besar yang menunjukkan amalan ESG baik.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mempercepatkan momentum ESG dan menggalakkan penerimaan lebih hebat dalam kalangan syarikat untuk memacu perubahan berkekalan dan impak positif untuk masa depan yang mampan.

Terdapat sejumlah 15 kategori yang akan dibahagikan kepada aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

"Daripada perspektif perdagangan, kita menyaksikan semakin banyak destinasi eksport mengamalkan amalan kemampanan, dengan penekanan khusus pada pematuhan ESG.

"Perkara sama juga berlaku dari perspektif pelaburan, kerana pelabur semakin mempertimbangkan elemen ESG sebelum memutuskan di mana untuk melabur dan berkembang.

"Untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan relevan dalam rantaian bekalan global, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kedudukan ESG," demikian menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Bahria Mohd Tamil, yang mewakili Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Lokman Hakim Ali ketika melancarkan program anugerah tersebut.

Beliau dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada Star Media Group, OCBC Bank selaku penaja rasmi anugerah berkenaan dan rakan kongsi mereka atas pelancaran Anugerah Impak Positif ESG.

"Saya memuji usaha proaktif dalam menghimpunkan badan korporat di Malaysia untuk menerima rangka kerja ESG dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan Keluarga Malaysia.

"Bersama-sama, kita akan dapat membina masa depan yang kita impikan untuk negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Noor Afifah Abdul Razak berkata, program seperti Anugerah Impak Positif ESG bertujuan untuk menggalakkan badan korporat di Malaysia mempertimbangkan bagaimana perniagaan dijalankan, serta mempromosikan platform perkongsian ilmu.

esg 2

Sekitar pelancaran Anugerah Impak Positif ESG 2022 yang dianjurkan oleh Star Media Group Bhd, dengan OCBC Bank (Malaysia) Bhd sebagai penaja utama. Foto: Faihan Ghani/The Star

"Ini akhirnya mengumpulkan organisasi-organisasi berkenaan ke arah menyumbang kepada pembangunan mampan negara," tambahnya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bagi pembangunan pengeksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Abu Bakar Yusof memuji SMG dan OCBC Bank kerana melancarkan anugerah berkenaan.

"Anugerah Impak Positif ESG hadir pada masa tepat untuk pihak kami melihat bagaimana mereka boleh memanfaatkan ESG dan kemampanan dalam model dan proses perniagaan mereka, supaya mereka boleh mendapatkan akses pasaran yang lebih baik dalam jangka masa panjang.

"Sudah tentu ini memerlukan kesedaran dalam kalangan pengeksport khususnya PKS. Saya percaya program anugerah ini akan mengukuhkan lagi kepentingan pengeksport untuk mematuhi piawaian global berkaitan ESG dan kemampanan.

"Matrade, melalui inisiatif kemampanan kami akan memberikan sokongan kepada inisiatif ini supaya kami boleh mendapatkan lebih ramai pengeksport PKS untuk menyertai anugerah ini," katanya.

Pengarah Eksekutif, Komunikasi Strategik dan Pejabat Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid turut senada dan memuji penganjuran anugerah tersebut yang disifatkan sebagai inisiatif yang tepat pada masanya.

"Tahniah kepada SMG dan OCBC Bank (Malaysia) kerana melancarkan Anugerah Impak Positif ESG.

"Ini sangat tepat pada masanya dan ia akan sangat berguna kepada persekitaran ekonomi dan sosial Malaysia.

"Ini kerana ia akan menggalakkan syarikat, besar atau kecil berusaha lebih bersungguh-sungguh menjadi mesra alam, bertanggungjawab dari segi sosial dan menambah baik tadbir urus.

"Ia adalah sesuatu yang kita harus galakkan kepada setiap syarikat di Malaysia untuk berusaha ke arah agenda dan matlamat ESG," ujarnya.

Sebagai penaja utama anugerah itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank (Malaysia) Datuk Ong Eng Bin berkata, ia adalah satu penghormatan untuk bekerjasama dengan SMG, akhbar harian berbahasa Inggeris terkemuka negara, terutamanya ketika kumpulan perbankan itu meraikan ulang tahunnya yang ke-90.

"Ini adalah masa yang sangat baik untuk mengumpulkan dua institusi yang sangat penting dan kukuh iaitu SMG dan OCBC, untuk mengiktiraf dan meraikan syarikat yang menerajui kemampanan melalui cara mereka menghasilkan produk dan juga kaedah memperjuangkan kemampanan.

"Kami melihat jalinan dengan SMG melalui anugerah ini sebagai mengukuhkan usaha untuk mencapai objektif selain berusaha ke arah kebaikan yang lebih besar kepada alam sekitar dan komuniti setempat.

"Hari ini, kami memberi peluang kepada syarikat di seluruh Malaysia untuk diiktiraf atas usaha mereka dalam ESG dan dipilih sebagai contoh untuk dicontohi oleh orang lain," kongsinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Alex Yeow pula menyifatkan kerajaan dan banyak perniagaan di negara ini sudah menerima agenda kemampanan dengan memasukkan tonggak ESG dalam rangka kerja organisasi masing-masing, sambil menambah, terdapat keperluan untuk turut memberi tumpuan kepada PKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

"Di sinilah SMG memainkan peranan melalui pendekatan menyeluruh. Sebagai salah satu organisasi media terkemuka di Malaysia, kami mengiktiraf peranan sebagai pemboleh penting dalam agenda ESG dan keupayaan kami untuk mencipta anjakan paradigma ke arah ESG.

"Anugerah Impak Positif ESG adalah usaha terbaharu kami dalam pergerakan ESG ini. Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian organisasi dalam ESG, tetapi juga untuk memperkasa dan membangunkan kapasiti PKS.

"Menerusi pembinaan satu perspektif yang berfikiran sama dalam menyokong ESG, ia akhirnya akan membantu membentuk dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang," katanya.

Sempena dengan pelancaran anugerah tersebut juga, pameran mengenai perusahaan sosial tempatan yang terkemuka turut diadakan dengan menampilkan nama-nama seperti Impactlution, Karun Hijau, Pal-My, PWD Smart Farmability dan The Tiffin Company.

Anugerah Impak Positif ESG 2022 dianjurkan oleh Star Media Group Bhd, dengan OCBC Bank (Malaysia) Bhd sebagai penaja utama.

Sila layari https://staresgawards.com.my/ untuk pendaftaran bagi penyertaan program ini. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain