suria

Penangan konvoi merdeka! Pelajar sporting, guru Kolej Vokasional Kelantan siap beli superbike, melaram baju tradisional

KVTM menganjurkan Konvoi Merdeka Jelajah Kolej Vokasional (KV) Zon Kelantan dengan penglibatan guru bersama pelajar, pada Selasa.

BOLEH dikatakan, sambutan hari kemerdekaan pasca pandemik Covid-19 yang dianjurkan oleh pelbagai pihak khususnya institusi pendidikan benar-benar meriah dan 'happening'.

Mana tidaknya, selama dua tahun hari bersejarah tersebut diraikan ala kadar atau secara dalam talian (online) sahaja, sambutan pada tahun ini semestinya paling bermakna memandangkan negara sudah memasuki fasa endemik.

Begitu juga dengan Kolej Vokasional Tanah Merah (KVTM) yang turut tidak ketinggalan meraikan sambutan hari kebangsaan peringkat kolej, pada Selasa.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana hari kebangsaan diraikan di kolej, sambutan kali ini menyaksikan KVTM menganjurkan Konvoi Merdeka Jelajah Kolej Vokasional (KV) Zon Kelantan dengan penglibatan guru bersama pelajar.

konvoi 4

Sekitar pelancaran Konvoi Merdeka Jelajah Kolej Vokasional (KV) Zon Kelantan.

Menurut guru yang juga ahli jawatankuasa (AJK) program, Firdaus Seri Rakna, objektif konvoi merdeka tersebut adalah bagi memupuk semangat kekeluargaan KV Zon Kelantan di samping menghayati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu menuntut kemerdekaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Semangat Mat Kilau meresap! Murid SK Jejawi di Perlis ‘sporting’ ikut tema orang kampung sempena pelancaran bulan kemerdekaan

"Bukan setakat guru KVTM, konvoi ini juga melibatkan guru seluruh KV di Zon Kelantan iaitu Bachok, Pasir Mas, Pasir Puteh, Kuala Krai, Pengkalan Chepa.

"Kesemua peserta konvoi termasuk pelajar yang mempunyai lesen berkumpul di KVTM sebelum berkonvoi sambil mengibarkan bendera dan menyerahkan manuskrip kemerdekaan serta Jalur Gemilang di setiap KV.

"Perjalanan konvoi ini sejauh 150 kilometer bermula di KVTM dan berakhir di KVTM juga, dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal lalu lintas," ujarnya.

konvoi 1

Pelajar Kolej Vokasional yang mempunyai lesen turut menyertai konvoi.

Dalam pada itu juga menurut Firdaus, konvoi tersebut bertujuan memberi pendedahan dan mempromosikan program-program yang ditawarkan di Kolej Vokasional kepada orang ramai khususnya remaja menerusi edaran pamplet.

Tambah Firdaus, rata-rata guru dan pelajar begitu teruja menyertai konvoi berkenaan memandangkan ini adalah sambutan kemerdekaan kali pertama secara 'outdoor' setelah dua tahun meraikannya secara dalam talian (online).

"Setiap tahun KVTM anjur sambutan merdeka, tapi pengisian dan program yang berbeza-beza. Kita dapati pelajar kurang teruja apabila sambutan dilakukan dalam kolej. Bila buat aktiviti seperti ini, ia lebih fun... buktinya, sambutan kali ini lebih menggalakkan.

"Pelajar yang sertai konvoi bersemangat hias sendiri motosikal masing-masing. Cikgu pun apa kurangnya, ada yang berhabis beli motosikal berkuasa tinggi lebih-lebih lagi selepas kelab motosikal KVTM Riders baru ditubuhkan tahun ini.

konvoi 3

Sebahagian tenaga pengajar Kolej Vokasional (KV) Zon Kelantan yang menyertai konvoi merdeka.

"Guru-guru wanita pun tidak kalah, melaram dengan baju tradisional dan bertemakan Malaysia... siap kutip bunga raya dan selit di tudung. Semuanya 'sporting'. Inilah penangan konvoi kali pertama.

"Melihatkan sambutan yang positif, InsyaAllah KVTM merancang untuk teruskan program konvoi bukan saja untuk merdeka tetapi untuk sambutan penting yang lain juga," katanya.

Sekadar tambahan, KVTM menawarkan 12 program kemahiran merangkumi lima program teknologi, lima program hospitaliti dan dua program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Pelajar yang berjaya menamatkan tempoh empat tahun pengajian akan memperolehi Diploma Vokasional Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia dan SKM Tahap 3.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain