suria

Ibu maut kemalangan, anak tukang jahit berjaya tamat pengajian universiti selepas dibesarkan 3 wanita berlainan bangsa

Anisah dibesarkan oleh tiga wanita berlainan bangsa selepas dia kehilangan ibunya ketika berusia 10 tahun.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai nasib seorang kanak-kanak perempuan selepas dia kehilangan ibunya akibat kemalangan jalan raya.

Belum sempat menginjak ke usia remaja, Anisah yang masih mentah tiba-tiba hilang tempat bergantung, sekali gus mengubah perjalanan hidupnya pada waktu itu.

Tuah bagaimanapun menyebelahi Anisah apabila tiga wanita berlainan bangsa menjadi tempat dia menumpang kasih, membolehkan dia meneruskan kehidupan walaupun tanpa ibu kandung yang telah pergi buat selamanya.

Wanita-wanita itu merupakan golongan ibu tunggal yang juga rakan sekerja arwah ibunya.

Mereka semua senasib, namun berusaha mengubah nasib diri dengan bekerja sebagai tukang jahit di sebuah kedai jahit milik Madam Ai Ling Yeoh.

perkeso2

Ibu Anisah bersama beberapa ibu tunggal yang lain bekerja di kedai jahit milik Madam Ai Ling.

Tiga wanita yang menjadi pengganti arwah, cekal membesarkan Anisah bersama-sama sehingga anak gadis tersebut berjaya menamatkan pengajian universiti dalam bidang Seni Reka Fesyen.

Paling penting, masa depan Anisah juga terbela kerana arwah ibunya membuat caruman PERKESO sepanjang bekerja dengan Madam Ai Ling.

Berbekalkan Faedah Pendidikan PERKESO, Anisah berjaya mencapai impiannya ke menara gading, sekali gus membanggakan ibu-ibunya yang banyak memberi sokongan selama ini.

Anisah meneruskan legasi ibu-ibunya dengan menggambarkan 'Jalinan Harmoni' sebagai lambang perpaduan dan kemuafakatan yang boleh dicapai melalui perasaan kasih sayang sesama insan tanpa sebarang prejudis dan prasangka.

perkeso3

Masa depan Anisah terbela kerana arwah ibunya membuat caruman PERKESO.

"Ibu-ibu wanita besi yang membantu aku menjalin takdir dari selembar benang yang sayu, menjadi serentang kain yang bangga dan berhati besar," ujar Anisah mengakhiri bicaranya.

Bagi mereka yang tertanya-tanya, kisah penuh inspirasi itu dikongsikan menerusi sebuah video istimewa sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.

Anda juga boleh menonton video penuh yang menjanjikan suntikan emosi dan inspirasi itu menerusi laman Facebook rasmi PERKESO.

Menurut Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO, video ini merupakan cetusan idea PERKESO bagi menzahirkan rasa cinta dan bangga kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni walaupun berbeza kaum, bangsa dan agama.

“Kemerdekaan yang dinikmati negara selama 65 tahun tidak akan tercapai, sekiranya tiada nilai perpaduan dan toleransi yang utuh, wujud dalam diri setiap rakyat di negara ini.

perkeso4

Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO.

“Bak kata pepatah Melayu, ‘Serumpun bak serai, sesusun bak sirih’. Permuafakatan yang terjalin dalam masyarakat perlulah sentiasa dipupuk dan diamalkan kerana kita semua adalah satu Keluarga Malaysia, yang saling menghormati dan mengasihi sesama kita. Dan PERKESO sesungguhnya berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan kehidupan rakyat Malaysia sepanjang lebih setengah abad yang lalu," ujarnya.

Izad Raya, Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO pula berkata, video merdeka PERKESO - 'Jalinan Harmoni' mengangkat tema pengorbanan, kasih sayang, tanggungjawab dan keprihatinan yang wujud dalam masyarakat kita tanpa mengira bangsa dan agama.

perkeso5

Izad Raya, Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO.

"Sebagaimana kita kembali ‘merdeka’ setelah berdepan dengan pandemik, untuk meraikan Hari Kebangsaan secara terbuka dengan seluruh rakyat Malaysia pada tahun ini, kami juga ingin mengajak orang ramai untuk sama-sama menghayati makna sebenar ‘Teguh Bersama’ dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.”

"Ia juga memaparkan kisah segelintir masyarakat yang diuji dengan pelbagai dugaan kehidupan dan bagaimana PERKESO memainkan peranannya selaku peneraju perlindungan keselamatan sosial di negara ini untuk meringankan beban serta membantu mereka meneruskan kehidupan menerusi faedah-faedah di bawah skim perlindungan sosialnya," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain