MEMILIKI ketuhar gelombang mikro (microwave) di rumah memang mampu menjimatkan masa untuk memanaskan kembali makanan atau minuman yang telah dimasak. Maka tidak hairanlah apabila alatan yang sangat efisyen ini sangat digemari para wanita berkerjaya. Tambahan pula ia mudah digunakan, dari mencairkan produk sejuk beku sehingga menyediakan hidangan ayam panggang. Disebabkan penggunaan yang kerap, adakalanya microwave akan 'meragam' dan pastinya anda akan menyangka ia telah rosak apatah lagi jika kedengaran bunyi 'meletup' di samping asap yang berkepul atau terdapat percikan api. ARTIKEL BERKAITAN: Orang bujang dan ibu-ibu... ini 7 kesalahan lazim perlu dielak ketika guna microwave Tapi apabila dihidupkan semula, ia kelihatan 'okay' cuma anda sememangnya risau untuk menggunakannya kembali. Walau apa pun keadaannya, jangan bimbang! Sebelum merancang untuk membeli yang baharu, cuba periksa dahulu keadaan 'mica plate' yang terdapat di dalam microwave tersebut sama ada sudah rosak atau masih elok. Mica plate yang rosak dan perlu diganti. Menerusi perkongsian seorang pelayar TikTok bernama Nazarah Zuraini, bunyi 'letupan' yang kedengaran itu adakalanya petanda bahawa mica plate sudah rosak dan perlu diganti. "Jika sudah rosak seperti mempunyai kesan terbakar, anda boleh gantikannya dengan yang baru. "Ia boleh dibeli di mana-mana aplikasi e-dagang dan kosnya sangat murah," kongsinya sambil menambah teknik tersebut boleh diguna pakai untuk mana-mana jenis atau jenama ketuhar gelombang micro. Proses menggantikannya pun sangat mudah, hanya cabut keluar yang lama dan gantikan dengan baharu. Para isteri boleh lakukan sendiri! Modal pun tidak sampai RM5, jika dihantar untuk baiki di kedai mungkin akan melibatkan kos 'tersembunyi'. Pun begitu, anda dinasihatkan untuk mengetahui saiz dan ukuran mica plate terlebih dahulu bagi memastikan ia bersesuaian dengan jenama microwave dimiliki. Namun jika mica plate masih elok tetapi microwave anda masih tidak boleh digunakan, lebih baik dapatkan nasihat daripada yang pakar ya! Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI