suria

Kembali dilanda banjir... cukup sekadar peka amaran cuaca? Ketahui perkara yang perlu anda lakukan jika terkandas

Pasukan bomba membantu memindahkan mangsa banjir.

KETIKA ini, monsun timur laut atau musim tengkujuh sedang melanda Malaysia dan dijangka berlarutan hingga Mac tahun depan.

Beberapa negeri khususnya di Pantai Timur sudahpun dinaiki air ekoran hujan lebat yang berterusan.

Justeru, International SOS, syarikat perkhidmatan keselamatan dan kesihatan terkemuka dunia, memberikan petua dan tip keselamatan untuk membantu orang ramai bersiap siaga menghadapi bencana banjir.

Tip dan petua ini berdasarkan pengalaman luas International SOS dalam menangani bencana alam, termasuk banjir, di Malaysia dan antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian mangsa banjir... ada perkara perlu diberi perhatian ketika bersihkan rumah

"Dengan menghasilkan kandungan ini, pertama sekali, kami berharap ia bermanfaat buat rakyat Malaysia jika berada dalam situasi ini.

"Kami juga ingin meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bersiap sedia, kekal tenang di tengah-tengah situasi dan sentiasa mengikuti perkembangan maklumat dan ramalan pihak berkuasa, supaya kita semua dapat menjaga keselamatan diri dan orang tersayang," kata Pengarah Perubatan, Singapura dan Malaysia, International SOS, Dr Chan Yanjun.

Berdasarkan pengalaman luas dalam menangani bencana alam, seperti banjir, nasihat utama International SOS untuk perkara yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia sebelum dan semasa banjir iaitu:

1) Kenal pasti risiko - Kenal pasti kawasan banjir atau tanah runtuh berhampiran anda. Ikuti amaran cuaca yang dikeluarkan.

2) Simpan stok - Simpan bekalan air selama tiga hari (catuan satu gelen atau kira-kira 4 liter setiap orang sehari) dan makanan kering.

3) Bersedia - Ketahui laluan pemindahan komuniti anda dan lokasi perlindungan kecemasan.

4) Dapatkan bantuan - Jika anda terkandas, cedera atau sakit, hubungi jabatan perkhidmatan kecemasan tempatan anda dan tunggu bantuan.

DR CHAN

Pengarah Perubatan, Singapura dan Malaysia, International SOS, Dr Chan Yanjun.

Jika anda terperangkap di dalam rumah atau bangunan:

1) Sentiasa peka dengan sebarang maklumat, nasihat dan ramalan cuaca.

2) Periksa sistem perparitan di belakang atau di luar rumah anda untuk melihat paras air. Semakin tinggi paras air naik, semakin besar kemungkinan anda perlu berpindah.

3) Matikan gas, bekalan elektrik dan air. Pastikan anda mencabut plug perkakas untuk mengelakkan kejutan elektrik apabila bekalan elektrik kembali pulih.

4) Bergerak ke tempat yang lebih tinggi. Hanya bergerak ke bumbung jika perlu.

5) Jika dinasihatkan untuk berpindah, lakukan dengan segera (kunci pagar dan pintu sebelum keluar jika boleh).

Jika anda terperangkap dalam kereta:

1) Jauhi jambatan kerana kereta anda berpotensi untuk dihanyutkan.

2) Kekal di dalam kereta jika air sedang bergerak laju.

3) Naik ke bumbung jika air mula memenuhi kereta anda.

Sama-sama peka dengan situasi sekeliling dan patuhi arahan pihak berkuasa. Jaga diri semua!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain