suria

1,500 rama-rama dilepaskan di Kuala Lumpur, ketahui kepentingan haiwan cantik ini dalam ekosistem alam sekitar

Sambutan Hari Rama-Rama Sedunia di The LINC KL.

RAMA-RAMA dengan sayapnya yang bercorak dan berwarna-warni adalah salah satu ciptaan Tuhan yang indah.

Bersempena Hari Rama-Rama Sedunia yang jatuh pada 14 Mac, kira-kira 1,500 ekor rama-rama dilepaskan ke ruang udara ibu kota Kuala Lumpur di pusat beli-belah The LINC KL.

Acara itu dianjurkan bagi meraikan kepentingan rama-rama dalam ekosistem alam sekitar iaitu untuk membantu pendebungaan tumbuh tumbuhan.

Pengunjung berpeluang melihat rama-rama dengan dekat sebelum dilepaskan.

Objektif utama program melepaskan rama-rama tersebut adalah untuk meningkatkan biodiverisiti serta membaik pulih ekosistem alam sekitar di dalam hutan konkrit Kuala Lumpur.

Program itu dijalankan melalui kolaborasi dengan The Chrysalis Project.

Antara aktiviti yang diadakan adalah bengkel entomologi untuk memupuk kanak-kanak mengenali haiwan dalam ekosistem.

Program melepaskan rama-rama di The LINC KL.

Seterusnya turut diadakan pengisian program menanam pokok sebagai 'rumah' rama-rama dan peluang melawat zoo mini menempatkan haiwan eksotik yang boleh didekati pengunjung.

Tidak terkecuali juga ekspo koleksi ulat beluncas yang boleh dibawa pulang sebagai haiwan peliharaan dan beberapa lagi aktiviti ilmiah lain bertemakan alam sekitar.

Seramai 150 kanak-kanak dan ibu bapa menyertai program itu yang berlangsung selama satu hari.

Rama-rama memainkan peranan penting dalam ekosistem alam sekitar.

Sebagai makluman, The Chrysalis Project merupakan yang julung kalinya diadakan dan ia adalah projek bertujuan memulihara populasi rama-rama di Malaysia.

Inisiatif ini merupakan salah satu usaha pemuliharaan alam sekitar di The LINC KL, Kuala Lumpur yang sejajar dengan konsep utama binaan pusat membeli-belah mereka iaitu berinspirasikan alam semula jadi.

Selain pemuliharaan populasi rama-rama, projek itu juga menyasarkan untuk melibatkan komuniti setempat terutamanya golongan belia dalam program pemuliharaan alam sekitar yang dianjurkan The Chrysalis Project.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain