suria

Hanya 2 bahan, 10 langkah mudah... Kotoran degil kain lap dapur boleh hilang, bersih seperti baharu

Kain lap dapur bersih dalam tempoh 10 minit sahaja tanpa perlu direndam berhari-hari.

SALAH satu benda penting yang perlu ada di dapur adalah kain lap atau ramai yang menggelarkannya sebagai 'kain buruk'.

Banyak kegunaannya terutama mengelap atau membersihkan sisa percikan masakan, tumpahan dan sisa makanan.

Disebabkan fungsinya yang pelbagai itu, kain ini agak sukar untuk dibersihkan walaupun sudah disental berkali-kali, lebih-lebih lagi jika dibiarkan berhari-hari tanpa dibasuh.

Sisa kotoran yang melekat akan 'mengundang' kehadiran bakteria jika kita masih menggunakannya berulang kali sebelum dibersihkan.

Ada juga yang mengambil jalan mudah dengan terus membuangnya kerana sisa kotoran 'degil' masih melekat biarpun sudah dibersihkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuci baju pun ada caranya... Ini 5 tip kekalkan warna pakaian supaya kelihatan baharu

Jangan bimbang, amalkan tip yang dikongsikan oleh seorang guru kelas masakan, Ellie Haji Darus mengenai cara mencuci kain lap dengan mudah.

Tanpa perlu rendam atau sental, kotoran hilang dan paling best, bau pun hilang!

kain buruk 2

Bilas dan berus perlahan selepas dikeluarkan daripada periuk.

Berikut adalah tip yang dikongsikan beliau:

1. Sediakan sebiji periuk khas

2. Masukkan air dan serbuk pencuci dan sedikit baking soda ke dalam periuk

3. Kacau supaya kesemua bahan ini larut

4. Letakkan periuk tadi di atas api dapur yang dibuka sederhana kuat.

5. Masukkan kain lap yang kotor

6. Biarkan di atas api selama 10 minit

7. Tutup api, angkat periuk dan curahkan airnya ke dalam sinki

8. Gosok dan sental kain lap perlahan-lahan saja untuk hilangkan kotoran

9. Bilas kain lap dengan air bersih

10. Sedia untuk dijemur. Hasilnya apabila kering, kotoran pada kain lap sudah bersih dan bau pun harum!

Mudah, pantas dan paling penting, menjimatkan! Kalau sudah tahu caranya, tak perlu susah-susah rendam kain lap berhari-hari dah selepas ini.

Selamat mencuba!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain