suria

Peserta autisme dari Filipina dinobatkan Miss UniWorld 2023

Majam dari Filipina dinobatkan Miss UniWorld 2023.

MALAM kemuncak Miss UniWorld 2023 melabuhkan tirainya dengan peserta dari Filipina dinobatkan sebagai juara.

Karla Majam, 17, dipakaikan mahkota bergemerlapan Ratu Kilimanjaro selepas panel juri sebulat suara menyerahkan gelaran tersebut kepadanya.

Berlangsung gilang gemilang dan penuh debaran di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, pertandingan ini menyaksikan 25 peserta mewakili negara masing-masing berentap bagi merangkul gelaran Miss UniWorld.

Dalam pusingan akhir Top 5, Majam berdepan saingan sengit daripada empat rakan pencabarnya dari Latvia, Georgia, Jerman dan Turkiye.

Bagaimanapun ketika sesi soal jawab yang menguji kefahaman isu semasa dan komunikasi peserta, Majam yang juga penghidap autisme menonjolkan bakat dan kebijaksanaannya apabila berjaya menjawab dengan begitu tenang dan yakin sehingga memberi kesan di hati juri dan penonton.

Majam dipakaikan mahkota Ratu Kilimanjaro dan menerima hadiah serta wang tunai bernilai RM460,000.

Kejelitaan, keanggunan, kepintaran dan ketabahannya sepanjang menyertai pertandingan ini ternyata menambat hati juri yang akhirnya sepakat memutuskan Majam paling layak dipakaikan mahkota Ratu Kilimanjaro dan menerima hadiah serta wang tunai bernilai RM460,000.

"Saya amat berbesar hati menyandang gelaran Miss UniWorld 2023 dan memakai mahkota Ratu Kilimanjaro. Kemenangan ini bukan setakat pencapaian peribadi tetapi lebih besar maknanya.

"Ia juga menjadi satu janji untuk mengangkat martabat Miss UniWorld dan menawarkan khidmat dalam usaha membawa perubahan positif.

"Saya teruja untuk peluang-peluang akan datang dan tidak sabar menggunakan platform ini bagi memberi inspirasi dan membuat perubahan," katanya selepas malam 'grand finale', pada Ahad.

Pertandingan Miss Uniworld adalah satu pertandingan ratu cantik antarabangsa bagi meraikan wanita, perubahan budaya dan memperkasakan kaum wanita di seluruh dunia.

Karla Majam dipakaikan mahkota bergemerlapan Ratu Kilimanjaro selepas panel juri sebulat suara menyerahkan gelaran kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Miss UniWorld, Roslan Rosdi berkata Miss UniWorld bukan sekadar pertandingan ratu cantik tetapi juga satu platform untuk wanita untuk mempamerkan bakat, berkongsi cerita dan memberi impak positif kepada dunia.

"Karla Majam mempunyai kualiti yang kami cari, dan kami tidak sabar untuk melihat impak positif yang akan diperolehi sebagai Miss UniWorld 2023," katanya.

Anugerah lain yang dipertandingkan adalah Miss Photogenic, Miss Charming, Miss Natural Beauty, Miss Glamourous, Best Catwalk, Best Evening Gown, Best Talent dan Best National Costume.

Bagi kategori Miss Charming Peserta Malaysia Catherine Lai Hui Yi dipilih sebagai pemenang.

Peserta dinilai berdasarkan personaliti, persembahan, keyakinan, postur badan serta catwalk oleh panel juri diketuai Alexis Sue Ann (Miss World Malaysia 2019/2020).

Ratu Kilimanjaro merupakan mahkota rasmi pertandingan bernilai RM1.8 juta.

Dihasilkan tukang emas Amee Philips dihiasi berlian asli dan batu permata ia menjadi simbol kemegahan pertandingan ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain