suria

Malunya mata naik ketumbit! Rupanya boleh buat cuba rawat sendiri guna sudu atau putik kapas

Ada dua kaedah boleh dilakukan untuk merawat masalah ketumbit pada mata.

"HA! Mesti mengintai orang mandi kan?"

Apabila ditumbuhi ketumbit pada kelopak mata, inilah ungkapan pertama yang akan keluar dari mulut orang sekeliling yang melihatnya.

Pastinya gurau senda itu membuatkan kita berasa malu untuk berdepan dengan orang ramai walaupun ia hanyalah mitos.

Sebenarnya, kelopak mata mempunyai kelenjar-kelenjar yang menghasilkan minyak bagi membantu melembabkan permukaan hadapan bola mata.

Menurut portal myhealth, ketumbit (hordeolum luaran) yang sinonim dengan mata pula adalah bisul kecil hasil jangkitan kuman staphylococcus ke atas akar (folikal) bulu mata.

Ketumbit berlaku kerana jangkitan kuman staphylococcus.

Pengumpulan minyak akibat saluran kelenjar tersumbat pula mengakibatkan chalazion (hordeolum dalaman).

Walaupun ketumbit akan hilang tanpa diberikan rawatan dalam masa beberapa hari, tetapi keadaan ini menyebabkan kesakitan dan bengkak sehingga menjadikan individu berasa tidak selesa.

Sebelum ini Medical Mythbusters Malaysia pernah mengeluarkan dua langkah mudah untuk merawat sendiri masalah ketumbit di rumah.

1. Syampu dan putik kapas

Masukkan beberapa titis syampu bayi (tidak memedihkan mata) ke dalam air suam.

Celup putik kapas ke dalam cairan itu lalu bersihkan bahagian kelopak di kawasan bulu mata.

Kaedah ini dinamakan lid hygiene.

Antara bahan boleh digunakan untuk mencuci kelopak mata.

2. Air suam dan sudu besi

Setelah dibersihkan bahagian ketumbit, ambil air suam bersih dan letak dalam bekas.

Celup sudu besi ke dalam bekas sehingga suam.

Tuamkan sudu yang telah suam itu pada kelopak mata.

Titiskan antibiotik ke dalam mata yang ada ketumbit.

Setelah selesai melakukan kaedah ini, masukkan ubat antibiotik ke dalam mata.

Pastikan antibiotik digunakan berdasarkan saranan doktor dan bukannya dibeli sendiri di kedai.

Pegang bahagian bawah mata setelah diletakkan ubat selama 30 saat supaya ubat dapat meresap masuk.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain