suria

Pencinta kereta kena ambil tahu, silap langkah memang jahanam! Ini tip jaga ‘interior’ supaya kekal menawan

Lelaki ini memberikan tip dan nasihat tentang penjagaan dalaman kereta.

BAHAGIAN luar kereta kebiasaannya dijaga dengan penuh rapi kerana ia perkara pertama yang menarik perhatian orang sekeliling.

Namun begitu, bahagian dalam atau interior kereta sebenarnya tidak kurang pentingnya.

Melalui satu video di Facebook, pakar penjagaan dan detailing kereta, Blakart berkongsi pantang larang dan tip dalam penjagaan dalaman sesebuah kereta.

Sebahagian daripadanya mungkin kelihatan remeh tetapi ternyata mempunyai impak yang besar. Ayuh kita lihat satu-persatu!

Bahagian dalam pintu kereta.

1. Jangan guna wax tayar pada permukaan plastik di bahagian dalam pintu kereta

Wax biasanya digunakan untuk meningkatkan kekilatan pada tayar dan melindunginya daripada kotoran dan calar.

Walaupun begitu, ia tidak sesuai untuk digunakan pada bahagian dalaman sesebuah kereta kerana ia akan menghakis dan memudarkan warna permukaan plastik.

Permukaan plastik pada bahagian dalam pintu kereta itu dalam istilah teknikalnya dikenali sebagai 'plastik trim'.

Pewangi kereta berbentuk jel. -Gambar hiasan

2) Elak letak pewangi berbentuk jel atau cecair di atas papan pemuka kereta

Perkara ini sudah menjadi kebiasaan orang ramai iaitu untuk meletakkan pewangi di atas dashbaord atau papan pemuka kereta.

Tahukah anda, kandungan alkohol di dalam pewangi tersebut jika tertumpah dan terkena pada permukaan plastik papan pemuka, ia boleh menyebabkan kerosakan.

Jika cecair atau jel pewangi itu terkena sekali pada permukaan papan pemuka kereta, kesan kerosakannya tidak akan dapat dihilangkan.

Maka, sentiasa berhati-hati dengan pemilihan jenis pewangi, adalah digalakkan untuk menggunakan pewangi dalam bentuk paket atau botol yang digantung pada cermin pandang belakang kereta.

Power bank di dalam kereta. -Gambar hiasan

3) Jangan tinggal power bank di dalam kereta

Ini adalah kecuaian yang sering kali membawa padah terutamanya apabila kereta ditinggalkan di bawah panas terik matahari.

Reaksi antara suhu tinggi dengan bahan kimia di dalam bateri power bank boleh menyebabkan kebakaran dan akhirnya kereta hangus dijilat api.

Oleh itu, sentiasa berwaspada ketika membawa 'power bank' ke dalam kereta.

Pemegang telefon pintar jenis gam.

4) Elak guna pemegang telefon pintar jenis gam

Pemegang telefon pintar atau car phone holder biasanya diletakkan pada permukaan cermin hadapan atau papan pemuka.

Adalah tidak disarankan untuk menggunakan 'phone car holder' yang mempunyai gam pada tapaknya kerana ia boleh meninggalkan kesan kerosakan selepas digunakan buat jangka masa tertentu.

Ini kerana gam pada pemegang telefon pintar itu mencair apabila terdedah pada keadaan cuaca sejuk dan panas.

Digalakkan untuk memilih pemegang telefon pintar yang menggunakan sedutan vakum bagi melekat pada permukaan.

Gunakan penyedut hampagas di dalam kereta. -Gambar hiasan Freepik

5) Rajinkan diri untuk membersihkan dalaman kereta

Pastikan anda kerap untuk membersihkan dalaman kereta dengan menggunakan penyedut hampagas (vacuum cleaner).

Jika terlalu berhabuk, penumpang yang menaiki kereta juga akan berasa tidak selesa dan menyebabkan alahan seperti batuk, bersin dan selesema. - Blakart

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain