suria

Wanita kongsi 4 cara kalau mahu epal kekal cantik, tak cepat lebam selepas dipotong

Wanita ini menunjukkan cara untuk mengelakkan epal menjadi lebam selepas dipotong.

BUAH epal menjadi kegemaran ramai kerana tekstur dan rasanya yang masam-masam manis.

Kebiasaannya buah epal akan dikupas kulitnya dan dipotong kepada bentuk tertentu sebelum dimakan.

Namun begitu, tidak lama kemudian buah epal yang dipotong itu akan mula kelihatan lebam dan tidak lagi rangup untuk dimakan.

Melalui satu perkongsian di Facebook oleh Lailatul Munira Zainuddin, dikongsikan beberapa tip penyimpanan buah epal agar kesegarannya dapat dikekalkan.

Air garam boleh membantu mengekalkan kesegaran hirisan buah epal. -Gambar hiasan

1) Air garam

Sediakan air biasa, tambah secubit garam kemudian rendam sekejap hirisan epal ke dalam air tersebut. Boleh direndam selama lima minit.

Kemudian toskan. Garam jangan diletakkan terlalu banyak bimbang buah epal akan menjadi masin. Letakkan ikut kadar yang bersesuaian.

2) Madu

Buat mereka yang tidak suka kewujudan rasa masin pada buah epal, boleh menggunakan madu.

Caranya cukup mudah, campurkan dua sudu madu dalam segelas air biasa. Kemudian, rendam potongan epal ke dalam campuran itu selama beberapa minit.

Lepas itu, toskan dan dah boleh dihidangkan.

Jus lemon juga boleh digunakan sebagai alternatif untuk mengekalkan kesegaran buah epal. -Gambar hiasan

3) Jus lemon

Petua elak epal lebam yang ini pun sangat mudah.

Hanya perlu perah sedikit jus lemon ke dalam air. Kemudian, rendamkan potongan epal ke dalam campuran itu selama beberapa minit dan toskan sebelum dihidang.

4) Pisau tajam dan limau nipis

Gunakan pisau tajam untuk memotong epal. Tetapi sebelum itu, sapu atau geselkan pisau tersebut dengan limau nipis. Kemudian baru potong epal seperti biasa.

Katanya, petua ini pun boleh digunakan untuk mengelakkan kita ‘menangis’ masa nak potong bawang. Cubalah!

Kalau tak ada jus lemon, boleh juga gantikan dengan jus limau nipis atau apa-apa jus buah yang bersifat sitrus seperti oren atau nanas.

Petua ini juga boleh digunakan untuk buah pear, lai, pisang, atau buah-buahan lain. - Lailatul Munira Zainuddin

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain