suria

Jangan biar sampai bengkak! Kalau jari terkena selumbar atau duri, cuba buat air ini

Selumbar boleh ditanggalkan menggunakan teknik rendaman air garam.

KESAKITAN yang dialami apabila jari tercucuk serpihan kayu atau duri yang dipanggil selumbar ini bukan biasa-biasa.

Lebih parah apabila selumbar tersebut membawa bakteria atau kuman yang boleh menyebabkan kulit mengalami keradangan.

Seperti yang terjadi kepada seorang pengguna di Facebook, Rose Ramli, jarinya pernah tertusuk duri pokok jarum tujuh bilah.

Cubaannya untuk mengeluarkan duri tajam yang tertinggal di dalam jarinya menggunakan jarum ternyata gagal hingga menyebabkan anggota itu membengkak sehingga tiga hari.

Namun, akhirnya wanita ini berasa lega apabila berjaya mengeluarkan duri tersebut menggunakan satu kaedah dikongsikan di Facebook.

Selumbar ada kalanya sukar dicabut menggunakan penyepit atau ketip kuku.

Cara-caranya

1. Masukkan garam sebanyak tiga sudu kecil ke dalam bekas berisi air suam.

2. Rendamkan jari yang masih mempunyai duri sekitar 30 minit.

3. Kemudian tekan bahagian jari yang bengkak.

4. Perhatikan bahagian duri tertusuk sewaktu menekan sehingga durinya terkeluar.

Selumbar yang dibiarkan boleh menyebabkan jari anda membengkak.

Kata Rose, duri tersebut 'meluncur' keluar dengan mudah selepas melakukan kaedah ini.

Ujarnya lagi, dia berasa lega apabila berjaya mengeluarkannya kerana bimbang duri itu akan menyebabkan masalah yang lebih buruk.

Kaedah yang sama boleh cuba dilakukan jika anda terkena selumbar.

Bagaimanapun anda dinasihatkan supaya segera berjumpa doktor sekiranya luka pada bahagian yang terkena duri atau selumbar tidak sembuh walaupun ia sudah dikeluarkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain