IKAN tongkol merupakan salah satu jenis ikan laut yang terkenal kerana rasa yang enak selain mempunyai gizi untuk kesihatan tubuh. Tetapi ikan tongkol atau ikan aya ini dikatakan menjadi alahan bagi penghidap penyakit resdung. Menurut perkongsian Lopak Tikey di Facebook, dia jarang membeli ikan tongkol yang sudah siap dimasak. Bahagian bisa ikan tongkol perlu dipisahkan. Sebagai penghidap resdung, dia memilih untuk masak sendiri ikan tongkol di rumah. Katanya, ikan tongkol perlu dibuang 'bisa' yang terdapat pada bahagian ekor dahulu sebelum dicuci sehingga bersih. "Anak pun sudah tahu kalau siang ikan ni, ekor mesti tarik buang bisa dia dulu baru boleh teruskan langkah seterusnya dan basuh sampai bersih. "Saya beli ikan yang bersaiz kecil je senang nak tarik buang bisa. Kalau besar okey je nak beli tapi bab tarik bisa tu kena tarik nafas panjang dulu," katanya. Dalam perkongsian sama, individu tersebut turut berkongsi kaedah untuk memisahkan bahagian bisa ini daripada ikan. Bahagian ekor perlu dipulas dan tarik perlahan-lahan untuk menanggalkan bisa. "Kena pulas sikit ekor sampai rasa longgar sikit dan tarik. "Jangan pulas habis pula takut ekor tercabut terus dan tak sempat tarik bisa tu keluar," jelasnya mengenai teknik berkenaan. Petua diamalkan ini sudah menjadi satu kebiasaan dibuat oleh lelaki ini dan keluarganya bagi mengelakkan masalah resdung berlarutan. Walaupun tiada kajian saintifik dilakukan untuk mengesahkan tentang keberkesanan proses ini, namun ia merupakan petua turun temurun yang dilakukan sejak dulu, Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube