suria

Terbeli buah muda? Jom belajar cara dan tip memeram dengan betul... Barulah tak terlebih masak

Buah yang ingin diperam dalam beg kertas dan diletakkan bersama dengan sebiji pisang yang sudah masak. -Gambar FB Asyraf Shuib

BUAH-BUAHAN tempatan bukan hanya lebih murah berbanding buah import, malah sememangnya kaya dengan khasiat untuk tubuh badan.

Namun, ada kalanya buah-buahan yang dibeli masih belum masak ranum sepenuhnya dah perlu menunggu beberapa hari sebelum boleh dimakan.

Justeru, buah-buahan perlu diperam dengan betul supaya ia masak dengan sempurna dan sedap untuk dinikmati.

Seorang pelayar Facebook, Asyraf Shuib berkongsi cara memeram buah-buahan dengan betul di Facebook sebagai panduan kita bersama:

Cara 1

Masukkan buah yang ingin diperam dalam beg kertas dan diletakkan bersama dengan sebiji pisang yang sudah masak.

Kemudian tutup beg kertas. Jika tiada beg kertas, boleh gunakan kotak. Jangan letakkan dalam beg plastik.

Periksa buah yang diperam itu setiap hari untuk elakkan terlebih masak.

Pisang masak cepat ranum kerana banyak keluarkan gas ethylene. Jadi, bila diletakkan bersama buah yang belum masak, buah tersebut akan cepat masak.

Selain pisang, boleh juga digantikan dengan epal kerana epal juga keluarkan gas ethylene yang banyak.

ARTIKEL BERKAITAN: Buah peach donut pula jadi viral! Kalau nak yang manis dan ‘extra juicy’, ikuti tip ini... Pasti tak menyesal bayar mahal

Cara 2

Basuh buah yang ingin diperam dan keringkan buah. Boleh lap dengan kain bersih atau tisu. Kemudian tanam keseluruhan buah di dalam beras. Periksa buah setiap hari.

Jangan lupa juga tengok beras. Bimbang buah masak ranum, beras pula akan rosak.

mangga 1

Buah akan masak dengan sempurna jika diperam dengan betul. -Gambar hiasan

Cara 3

Letak calsium carbide (kabat) atas kertas surat khabar. Renjiskan kabat dengan sedikit air. Bungkus calsium carbide dengan surat khabar. Apabila calsium carbide terkena air, ia akan membebaskan gas acetylene.

Gas acetylene juga berfungsi seperti gas ethylene, mempercepatkan proses buah masak.

Sebagai peringatan, calsium carbide mengandungi arsenic dan phosphorus, yang dikuatiri boleh menjejaskan kesihatan. Oleh itu, kendalikannya dengan berhati-hati.

Oh ya! Sebagai tip tambahan, peram dahulu buah dan hanya letakkan buah yang sudah masak ke dalam peti sejuk.

Suhu sejuk akan melambatkan pengeluaran gas ethylene dan membuatkan buah masak tersebut tahan lama.

Jangan lupa juga asingkan sayur-sayuran dengan buah-buahan sebelum diletakkan di dalam peti sejuk.

Ini kerana buah yang diletakkan di dalam peti sejuk masih lagi akan mengeluarkan gas ethylene dan akan menyebabkan sayur lebih cepat rosak.

Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain