ZAMAN sekarang, semua benda memerlukan wang. Maka tidak hairanlah apabila ramai yang sanggup bekerja bersungguh-sungguh daripada siang membawa malam untuk menambah pendapatan. Tetapi percaya atau tidak, golongan ini yang sentiasa berada dalam kesempitan. Pasti timbul tanda tanya, mengapakah perkara ini berlaku? Ada ungkapan menyebut, 'jangan biar diri bekerja untuk wang, tetapi biar wang bekerja untuk kita'. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita menyesal 13 tahun guna duit KWSP melabur unit amanah! Pakar kewangan tampil beri fakta berguna ARTIKEL BERKAITAN: Bakal pengantin B40 gelabah tak sempat kumpul RM17,000 nak kahwin tahun depan, demi ‘title’ raja sehari mungkin jadi hamba selamanya Sebenarnya terdapat pelbagai punca yang mendorong perkara ini berlaku, antaranya ketiadaan ilmu pengurusan kewangan, tidak bijak menyusun perbelanjaan, gaya hidup yang mewah melebihi pendapatan dan sebagainya. Akibatnya, kita bukan hanya menyusahkan diri sendiri tetapi orang sekeliling terutama ahli keluarga. Seorang pakar kewangan dan hartanah merangkap motivator, Dr Azizul Azli Ahmad merungkai empat peringkat 'dosa kewangan' yang lazim dilakukan kebanyakan individu. Peringkat 1 Ada pendapatan tetap dan boleh menabung, tetapi tabungannya selalu digunakan. Dalam erti kata yang lain, golongan ini gemar berbelanja mengikut kata hati tanpa membuat perancangan terlebih dahulu. Kesannya, belum pun masuk tengah bulan, wang di dalam bank semakin berkurangan. Maka terpaksalah mengikat perut sementara menanti hari gaji. Ramai yang berbelanja sehingga wang yang ada tidak mampu bertahan hingga hujung bulan. -Gambar hiasan Peringkat 2 Ada pendapatan tetap, tetapi belum ada tabungan atau dana kecemasan serta perlindungan takaful. Kebanyakan individu tidak sedar mereka berada di dalam peringkat ini. Boleh dikatakan, masih ramai yang tidak mempunyai kesedaran untuk mengambil perlindungan takaful. Lebih parah, tabungan dana kecemasan pun langsung tidak ada! Kesannya, jika diuji dengan musibah atau kemalangan, kita belum ada simpanan wang yang mencukupi untuk menanggung kos yang diperlukan. Peringkat 3 Perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan. Setiap kali dapat gaji buat formula gali lubang tutup lubang. Ramai juga individu yang berada di dalam peringkat ini. Sedikit sebanyak, perkara ini dipengaruhi oleh faktor gaya hidup yang mewah tetapi tidak mengukur baju di badan sendiri. Kesannya, baru dapat gaji pun rasa macam hujung bulan! Ada individu yang tidak mempunyai kesedaran untuk mempunyai tabungan bagi digunakan waktu kecemasan. -Gambar hiasan Peringkat 4 Tidak ada pendapatan tetap tetapi banyak hutang, sampaikan pinjam ah long dan ada hobi suka berjudi Ini peringkat dosa kewangan yang paling besar! Sudahlah tidak mempunyai pendapatan tetap tetapi berani membuat pinjaman berbanding mencari penyelesaian untuk menjana pendapatan. Kesannya, kemungkinan individu dengan tabiat seperti ini akan kekal miskin dan menyusahkan orang terdekat dengan masalah kewangannya. Silap hari bulan, boleh jadi gelandangan! Justeru, elakkan diri anda daripada terjebak melakukan 'dosa kewangan' ini. Jika tergolong dalam kumpulan 'dosa' berkenaan, cepat-cepatlah tersedar dan 'bertaubat'. "Apa saja dosa kewangan, mulakan dengan taubat dan kita baiki diri. Pasti ada jalan keluarnya," akhiri beliau. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube