MEMANG seronok apabila dah dapat duit pencen yang biasanya mencecah sehingga enam angka! Sudah tentu pelbagai rancangan berlegar-legar di minda untuk menambahkan lagi simpanan daripada duit yang sedia ada. Biasanya, ramai dalam golongan ini terlibat dengan perniagaan berasaskan makanan. Bagaimanapun, anda dinasihatkan usah gopoh dengan terus membuka restoran atau kedai makan! Seorang pemuda, Hafiz Mansor tampil memberikan pandangan dan nasihat terutama kepada mereka yang baru bersara agar tidak meneruskan niat menggunakan wang persaraan mereka untuk membuka perniagaan restoran. Menurutnya, terdapat banyak cabaran dan kesukaran apabila membuka perniagaan makanan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman. Sebagai seorang yang bekerja makan gaji dan tidak pernah berkecimpung dalam dunia perniagaan, langkah menceburi dunia perniagaan selepas bersara adalah percaturan berisiko tinggi. Golongan ini dinasihatkan untuk berniaga dalam skala kecil terlebih dahulu untuk mengelakkan risiko rugi. -Gambar hiasan "Ada juga yang tanya anak, nak buat bisnes apa. Anak pun cadang buka kedai makan paling senang. Anak yang tiada pengalaman berniaga kata dia boleh uruskan. "Apa yang berlaku, mereka mula cari kedai dan habiskan duit dekat renovate kedai bagi cantik. Ada juga dia punya syok nak renovate kedai, dari jauh ingat butik pengantin, rupanya restoran. "Puas lihat kedai nampak gah. Lepas tu buat lima hingga 10 menu makanan. Ambil pekerja ramai. Launching kedai pun orang tak perasan kedai wujud sebab tak ada ilmu launching," kongsinya. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita menyesal 13 tahun guna duit KWSP melabur unit amanah! Pakar kewangan tampil beri fakta berguna Tambahnya, disebabkan kurang ilmu dan selok-belok dunia perniagaan, akhirnya perniagaan tersebut terpaksa gulung tikar. "Sales tak banyak, mula rasa penat dan stres. Lepas enam bulan berniaga mula pening kepala sebab sales tak seperti yang diharapkan. Sewa kedai beribu kena bayar. Pekerja ramai kena bayar. Akhirnya tutup. "Mulalah bergaduh laki bini di umur yang senja. Hubungan dengan anak-anak mula tak elok. Dari bahagia dah jadi macam kat neraka. Ini yang kita tak mahu dan berlaku. "Saya memang tak galakkan orang pencen yang tak ada pengalaman berniaga ni, untuk buka bisnes restoran kecuali dia memang ada sedikit pengalaman sebelum ni dan ada anak yang memang berniaga dengan cemerlang," kongsinya lagi. Berbanding membuka restoran, pemuda ini menyarankan supaya pesara yang minat berniaga agar bermula secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Melakukan perancangan seperti menyiapkan diri mengenai ilmu berbisnes amat digalakkan sebelum menceburi perniagaan. -Gambar hiasan "Mula dengan buka gerai atau payung tepi jalan. Test jual satu atau dua makanan dahulu. "Kalau ramai beli, hasil memuaskan dalam tempoh enam bulan, barulah fikir nak ke next level. Duit simpanan tak rugi, kepala pun tak stres tapi tetap penat juga atas faktor umur. "Pada pendapat saya, elok duit yang ada ratus ribu tu buat beli tanah dan bina rumah pintu atau bina rumah buat homestay," ujarnya lagi. Pandangan pemuda tersebut turut senada dengan seorang penulis buku mengenai kewangan, Mohd Zulkifli Shafie yang berpendapat bahawa pelaburan terbaik ialah pelaburan yang seseorang mempunyai ilmu tentangnya. "Pendek kata, kita tahu benar sepak terajang pelaburan tersebut. "Tapi kalau tak ada ilmu untuk melabur dalam mana-mana pelaburan, tempat terbaik ialah biarkan jer duit tu dalam ASB atapun Tabung Haji. "Kita boleh dapat dividen setiap tahun sebagai pendapatan. Walaupun pulangannya tak tinggi. Tapi sekurang-kurangnya duit pokok yang kita letak tu tak berkurangan. Ia dijamin oleh kerajaan," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube