suria

Senang rupanya nak tanam pokok tomato, tapi jangan lupa jentik ‘manja’ bunganya... Pasti berbuah banyak!

Puas hati apabila melihat pokok tomato yang ditanam berbuah.

ALANGKAH indahnya untuk mempunyai kebun sendiri yang boleh membekal sayur-sayuran kepada kita, seperti sebuah 'pasar raya' di belakang rumah.

Sebenarnya tidak sukar untuk bercucuk tanam sekiranya kita tahu teknik yang betul.

Ayuh kita lihat perkongsian oleh Zulfazdlina Abdullah di Facebook tentang cara mudah untuk menanam pokok tomato yang pasti membuahkan hasil.

Pertama sekali, adalah lebih baik jika anda mengambil keratan batang pokok tomato atau dikenali sebagai tunas air daripada nurseri bagi memulakan tanaman.

Tidak digalakkan untuk menanam daripada biji tomato.

Keratan batang boleh bercambah menjadi pokok tomato yang baharu.

Cara tanam:

1) Cari tunas air pada batang pokok tomato, kemudian potong.

2) Boleh cucuk terus keratan ke dalam pasu atau tanah.

3) Disarankan potong lebih daripada satu tunas air dan cucuk ke tanah, kerana tidak semua keratan akan berhasil mengeluarkan akar. Kemungkinan ada yang tidak menjadi.

Seterusnya ayuh kita lihat pula tip penjagaan pokok tomato supaya cepat berbuah seperti yang dikongsikan MYsarah MK:

1) Teduhan

Ini paling penting, pokok tomato tidak boleh terlampau panas, nanti ia senang layu dan kemudiannya mati. Dinasihatkan untuk menanamnya di tempat teduh yang terlindung daripada sinaran terus matahari.

2) Pendebungaan

Pokok tomato perlu dibantu supaya bunga yang keluar boleh menjadi buah.

Antara petuanya adalah menjentik secara manja bunga pokok tomato tersebut sehingga buah akhirnya keluar. Perlu dilakukan setiap hari.

3) Kekerapan siraman dan baja

Pokok tomato perlu disiram setiap hari kerana ia akan cepat layu jika panas.

Selain itu, jangan lupa letak baja supaya pokok tomato lebih cepat berbunga. Digalakkan guna baja palet tahi ayam dan Ezigrow.

Teknik penjagaan pokok tomato.

4) Sokongan batang

Pokok tomato perlu diikat pada kayu atau pagar kerana batangnya yang lembut.

5) Racun serangga

Pokok tomato senang dihinggapi bena. Antara racun yang disarankan adalah cuka kayu.

6) Penjagaan buah

Sekiranya pokok tomato sudah mula berbuah, balut buah tersebut kerana binatang boleh menebuknya sehingga berlubang dan rosak.

7) Daun kering

Buang daun yang kering atau rosak dan tinggalkan yang elok sahaja.

Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain