SUDAH menjadi satu tradisi bagi setiap individu berkemampuan untuk menyediakan duit raya bersempena Aidilfitri. Jadi, pasti ramai yang cuba menukar wang kertas baharu RM1, RM5 atau RM10 supaya lebih mudah diberikan kepada kanak-kanak atau tetamu yang datang ke rumah. Walaupun banyak bank di negara ini menyediakan perkhidmatan penukaran duit menggunakan mesin ATM mahupun di kaunter, tetapi stok wang tersebut agak terhad. Maka ramai yang terpaksa menggunakan duit lama atau sedia ada yang sudah berkedut untuk dijadikan duit raya kerana tidak berkesempatan mendapatkan duit baharu. Namun jangan risau, tular di media sosial satu video dikongsikan seorang wanita menggosok beberapa keping wang kertas bernilai RM20 menggunakan seterika. Video dikongsikan DKRemy menerusi platform TikTok itu meraih perhatian netizen kerana teruja dengan teknik yang ditunjukkan. Kaedah ini boleh dilakukan untuk menjadikan duit kelihatan baharu. Apa yang mengagumkan adalah kaedah berkenaan ternyata berjaya menghilangkan kedutan hingga menjadikan wang kertas kelihatan seperti baharu. Sebagaimana dibuat oleh wanita ini, dia membasahkan duit tersebut terlebih dahulu menggunakan air. Kemudian dia menekap seterika panas di atas duit tersebut untuk beberapa saat sebelum dialihkan. Hantaran dibuat DKRemy beberapa hari yang lalu hingga kini meraih lebih tiga juta jumlah tontonan yang rata-ratanya kagum dengan kegigihanya itu. Bagaimanapun di ruangan komen, pengguna di TikTok memberikan peringatan supaya tidak menggosok wang kertas bernilai RM1 dan RM5 kerana materialnya yang boleh mengecut jika terkena seterika panas. Selain itu juga, ada individu mencadangkan agar wanita ini menggunakan lapik diletakkan di atas wang sebelum diseterika supaya lebih selamat dan tidak merosakkan duit berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube