suria

Sedaya upaya penuhi undangan... Berpengalaman beraya rumah famili miskin, wanita kongsi adab sebagai tetamu

Seorang wanita menitipkan pesanan supaya menjaga adab ketika beraya. -Gambar hiasan (kiri)

MASYARAKAT kita kaya dengan pelbagai tradisi selari ajaran Islam termasuklah ziarah-menziarahi ketika sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.

Pada dasarnya, aktiviti kunjung-mengunjungi ini bertujuan untuk bertanya khabar dan merapatkan hubungan silaturrahim di samping mengelakkan terputusnya hubungan persaudaraan dan persahabatan.

Sebagai orang yang menziarahi atau beraya, terdapat beberapa adab sebagai tetamu perlu diutamakan sebagaimana dikongsikan Nur Farina Abdullah.

Dalam perkongsiannya di Facebook, Farina menceritakan pengalamannya yang berkunjung ke rumah golongan kurang berkemampuan sebelum ini.

"Dahulu kalau orang yang kami tahu bukan orang senang ajak beraya di rumah mereka, kami akan pastikan hadir kerana bimbang jika mereka fikir kami tak sudi hadir setelah dijemput.

Tujuan beraya adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara saudara dan sahabat.

"Sedangkan mereka berkali-kali minta maaf apabila hanya boleh jamu nasi putih, sambal sardin, telur dadar tepung berserta kicap sebagai menu istimewa raya.

"Bila kami makan penuh selera, riak wajah gembira tu terpancar di mata mereka," imbasnya dalam hantaran berkenaan.

Bagaimanapun, menurut wanita ini, kunjungannya beraya di rumah yang sama sedikit berbeza hidangannya pada zaman sekarang berbanding dahulu.

Katanya, tiada lagi juadah nasi dihidangkan bersama sardin dan telur yang kini harganya lebih mahal.

"Tapi sekarang bila mereka menjemput dan kami hadir mereka cuma hidangkan teh o' suam kurang manis dengan biskut campur, kami tetap makan penuh selera tak tanya apa-apa.

"Sebab faham sardin dan telur sudah bukan lagi menjadi barang yang mampu dimiliki mereka untuk dijadikan hidangan istimewa hari raya," jelasnya memahami keadaan tuan rumah.

Terdapat beberapa adab sebagai tetamu perlu diutamakan ketika beraya.

Berdasarkan pengalamannya ini, Farina dalam hantaran yang sama menitipkan pesanan dengan menyenaraikan lima perkara penting ketika beraya.

Menurutnya, ini merupakan adab menjamu selera yang perlu dijaga sekiranya hadir beraya di rumah golongan kurang berkemampuan.

1. Bila kita ziarah raya, jangan meminta ikut selera tapi makan apa saja yang ada di meja makan.

2. Jangan sebut benda yang tiada di meja juga tak terlihat dek mata.

3. Ada kicap kita ambil makan tapi kalau tak ada jangan disebut-sebutkan walau kita rasa di dapur mereka pasti ada. Kalau tak dihidang, jangan kita nak persoalkan.

4. Walau tuan rumah minta habiskan, tapi gunalah akal untuk berbisik 'jangan' sebab kita tak tahu sama ada tuan rumah sempat atau tidak untuk makan.

5. Jangan berharap anak-anak dihulurkan sampul keriangan (duit raya) tapi didik anak untuk memberi pada golongan lebih memerlukan.

Dalam pada itu, wanita ini menitipkan pesanan agar membawa 'buah tangan' sekiranya datang beraya ke rumah golongan kurang berkemampuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain