suria

Ramai anggap rugi isi minyak ‘full tank’, kereta jadi berat... Pakar automotif bersuara, rupanya ada faktor lain!

Pemanduan berhemah dan tidak melulu boleh menjimatkan penggunaan petrol.

TIMBUL cakap-cakap di media sosial kononnya amalan mengisi minyak sehingga penuh tangki atau full tank merupakan satu kerugian.

Ini kerana perbuatan tersebut hanya akan menambahkan berat atau memberi bebanan tambahan kepada kenderaan hingga menyebabkan kereta yang dipandu 'makan' minyak lebih daripada sepatutnya.

Perkongsian individu tersebut ternyata mencetuskan pelbagai pendapat dalam kalangan pemilik kereta.

Susulan daripada itu, seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Automotif, Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal (Aid Fawzal) menjawab spekulasi berkenaan menerusi perkongsian di Facebook peribadinya.

Ramai memilih untuk mengisi minyak penuh sekiranya mahu meneruskan perjalanan jauh.

Aid yang juga merupakan seorang jurutera simulasi, pakar aliran bendalir dan pemindahan haba berkata kenyataan tersebut adalah separa benar.

Bagi memahami penjelasan tersebut lebih mendalam, Aid memperincikan nisbah berat petrol bagi tiga jenis kenderaan berbeza.

1. Perodua Myvi

Saiz tangki = 40 liter (L)

Ketumpatan petrol = ~740 kilogram per meter padu (kg/m³)

Maka berat tangki penuh berisi petrol = 30kg

Berat kereta = 950kg

Nisbah berat petrol terhadap berat kereta = 30/950 bersamaan ~3 peratus

2. Perodua Bezza

Saiz tangki = 36L bersamaan 27kg

Berat kereta = 940kg

Nisbah berat petrol terhadap berat kereta = 27/940 bersamaan ~3 peratus

3. Proton X70

Saiz tangki = 60L bersamaan 44kg

Berat kereta = 1675kg

Nisbah berat petrol terhadap berat kereta = ~3 peratus

Aid mengulas mengenai pengisian minyak penuh yang dianggap merugikan.

Berdasarkan perincian yang dibuat, Aid menjelaskan bahawa apabila badan kenderaan besar, pastinya berat bagi kereta tersebut juga lebih tinggi.

Maka, petrol yang diisi penuh ke dalam tangki tidak digunakan secara berlebihan akan dibandingkan dengan berat keseluruhan kereta.

Aid dalam hantarannya turut merumuskan bahawa adalah tidak benar sekiranya berlaku kerugian sekiranya mengisi minyak penuh.

Ini kerana berat isian penuh petrol tidak signifikan apabila dibandingkan dengan berat kereta.

Sebaliknya kerugian petrol boleh disebabkan empat faktor ini:

1. Simpan barang-barang berat yang tidak diperlukan dalam kereta.

2. Pandu secara melulu.

3. Pandu dalam kelajuan melampau.

4. Pasang bodykit yang tidak aerodinamik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain