SELAIN menggunakan resipi yang betul, bahan mentah juga memainkan peranan penting dalam menentukan rasa masakan. Sebagai contoh sekiranya lauk seperti ayam, ikan atau daging yang tidak segar digunakan, rasanya pasti tidak sedap hingga membantutkan selera. Bagi mengelakkan ia berlaku, ini lima perkara yang perlu anda tahu semasa memilih ayam proses di pasar raya atau pasar. 1. Bahagian dubur berwarna putih Warna putih menandakan ayam diproses selepas betul-betul mati manakala warna merah pula ia diproses sebelum mati contohnya bulu dicabut semasa masih hidup. Warna biru pula menunjukkan ayam sudah mati terlebih dahulu sebelum disembelih atau bangkai. 2. Warna kulit ayam Ayam yang kulitnya berwarna putih kemerah-merahan adalah segar. Jika ayam itu pucat, kebiru-biruan, biasanya ia diletakkan bahan formalin dan disejukbekukan. Ayam segar berwarna kemerah-merahan. 3. Tekstur ayam Kepak ayam segar akan kembali ke posisi asal apabila ditarik ke belakang. Isi yang segar akan terasa empuk dan kembali ke bentuk asal apabila ditekan tetapi tenggelam jika ayam lama. Tekstur ayam kenyal pula kebiasaannya diletakkan formalin manakala ayam yang kelihatan bengkak biasanya telah disuntik. 4. Darah ayam Apabila ayam yang dibeli kelihatan mempunyai banyak darah menandakan ia telah dibekukan dan dicairkan semula. Ayam segar tidak mempunyai air berdarah yang banyak. 5. Bau ayam Ayam yang segar tidak akan mempunyai bau yang busuk atau hanyir. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube