RAMAI yang tidak mengambil peduli tentang komponen kenderaan dan menyerahkan segala urusan membaiki kepada mekanik di bengkel. Disebabkan itu, terdapat sebilangan mekanik yang mengambil kesempatan dengan menipu dan mengenakan caj yang mahal meskipun kerosakan yang berlaku kecil. Sama ada lelaki mahupun wanita, pastikan anda mengambil tahu empat perkara yang dinyatakan platform e-dagang alat ganti kenderaan carzey.com ini jika sering memandu kenderaan. 1. Kereta bergegar semasa memandu Kebiasaannya kereta yang berada dalam keadaan baik tidak akan bergegar melainkan anda memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan. Namun jika gegaran dirasai semasa kelajuan mencecah 80 kilometer per jam (km/j) hingga 100km/j, seeloknya anda memeriksa drive shaft. Kebiasaannya berlaku kerosakan pada bahagian tersebut. Ramai pengguna tidak mempunyai pengetahuan tentang masalah kenderaan. -Gambar hiasan 2. Kereta seakan melayang atau membuai Jika kenderaan anda terasa seperti membuai dan melayang seolah-olah menaiki sampan, ia berpunca daripada shock absorbers yang mungkin sudah patah. Situasi yang berlaku ini akan menyebabkan anda terasa sedikit pening apabila berada di dalam kenderaan. 3. Stereng berbunyi ketika digerakkan Jika terdapat bunyi semasa anda menggerakkan stereng sama ada ke kiri atau ke kanan, ia menandakan terdapat masalah pada absorber mounting. Pastikan anda memeriksanya terlebih dahulu sebelum bergerak ke bengkel ya! Mekanik yang tidak jujur akan menyatakan terdapat pelbagai masalah lain berkaitan bunyi stereng termasuk mengaitkan dengan masalah drive shaft. 4. Tayar 'botak sebelah' atau bunga tidak rata Ramai yang tidak sedar keadaan bunga tayar sehinggalah melakukan pemeriksaan pada komponen tersebut. Jika anda mendapati bahagian dalam atau luar sahaja yang haus, ia menandakan anda perlu membuat alignment tayar. Pada masa sama periksa juga bush axle atau bush control arm kerana kerosakan tayar membahayakan nyawa pemandu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube