KERETA yang diparkir di bawah sinaran matahari 'mengurung' haba seperti ketuhar. Pastinya perit untuk pemilik kereta memulakan pemanduan terutamanya pada waktu tengah hari dengan rasa bahang yang menyengat. Melalui satu hantaran di laman TikTok oleh Azbi Centre, ada dikongsikan petua supaya sistem penyaman udara kereta lebih pantas menyejukkan ruang kenderaan dalam situasi sebegini. Ternyata anda hanya perlu mengaktifkan satu butang ini pada panel kereta, ia mengawal lubang pengudaraan yang terletak berhampiran cermin hadapan. Butang pada penyaman udara kereta yang ramai terlepas pandang. Menurut Azbi, apabila butang tersebut dipasang, angin sejuk dari penyaman udara akan dihalakan kepada cermin hadapan. "Pertama sekali apabila anda masuk kereta selepas parking bawah panas, tukarkan ketetapan penyaman udara daripada menghala ke badan supaya pergi ke arah cermin. "Kelajuan penyaman udara tak kisah nak letak paras berapa. Biarkan sekejap selama beberapa minit kemudian boleh tukar semula kepada biasa. "Tujuannya adalah untuk menghilangkan haba yang terperangkap pada cermin kereta tu. Tip ini boleh membantu menyejukkan kereta anda dengan lebih efisien," jelas Azbi. Menghilangkan wap pada cermin hadapan Tambah Azbi, fungsi sama juga boleh digunakan ketika awal pagi apabila fenomena kondensasi mengaburi cermin hadapan. "Embun pagi boleh hilang apabila dikenakan angin sejuk daripada dalam. Perkara ini dapat membantu pemanduan anda," terang Azbi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube