suria

Jakim sahkan 5 restoran popular, dikunjungi ramai pelanggan Muslim tiada sijil halal

Status halal premis makanan penting untuk pelanggan Muslim di Malaysia. -Gambar hiasan

RESTORAN dan pensijilan halal menjadi perkara penting untuk pelanggan beragama Islam di negara ini.

Malaysia juga dianggap sebagai negara yang sangat maju dalam pengurusan halal dan menjadi rujukan kepada banyak negara lain.

Walaupun mempunyai populasi umat Islam yang besar, terdapat premis makanan popular tidak mendapatkan sijil halal dan paling membimbangkan apabila ia dikunjungi oleh ramai pelanggan Muslim.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi satu kenyataan pada Selasa mengumumkan beberapa restoran terkenal di Malaysia yang tidak memiliki sijil halal.

Antara restoran yang disebutkan ialah Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

Malaysia merupakan negara yang sangat maju dalam pengurusan halal. -Gambar hiasan

Semua restoran ini tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah untuk skim premis makanan dan minuman kecuali bagi Ayam Penyet Best.

Mengenai premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best, Jakim memaklumkan empat outletnya memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.

Jakim mengeluarkan kenyataan ini selepas tular satu surat daripada pihaknya yang menjawab pertanyaan dikemukakan pengguna menerusi emel.

Semakan dibuat menggunakan sistem MYeHALAL Jakim melalui Portal Halal Malaysia.

Maklum balas yang disediakan oleh jabatan ini adalah sebagai respons kepada pertanyaan mengenai status halal beberapa premis makanan yang dikemukakan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain