MENJAGA kereta dengan baik bukan sahaja dapat memastikan kenderaan berfungsi dengan baik tapi berupaya memanjangkan jangka hayatnya. Penjagaan yang baik juga dapat mengurangkan risiko kerosakan tanpa tidak dijangka. Menerusi perkongsian pusat servis JDMH Autoservice - Seri Kembangan di Facebook, ada dikongsikan 10 elemen penting yang perlu diberi perhatian bagi memudahkan pemilik kereta melakukan servis berkala. Tip ini penting bagi kereta yang sudah tamat tempoh warranty (jaminan). 1. Minyak hitam Minyak hitam (bukan jenis sintetik) perlu ditukar pada setiap perjalanan menjangkau 5,000 kilometer (km) atau tiga bulan. Berbeza dengan minyak hitam jenis sintetik, ia hanya perlu ditukar selepas perjalanan menjangkau 7,500 km hingga 10,000km. 2. Oil filter (penapis minyak) Penapis minyak yang berfungsi untuk menapis kotoran, benda asing serta minyak teroksidasi yang munjul di dalam enjin. Penapis minyak kereta boleh ditukar apabila jarak (mileage) kereta mencecah 40,000km. Beberapa alatan kereta perlu diganti bergantung kepada jarak perjalanan. 3. Spark plug (palam pencucuh) Palam pencucuh ini perlu ditukar selepas jarak perjalanan 20,000km mengikut buku jadual penyelenggaraan. Namun, tidak menjadi masalah sekiranya anda menggunakan palam yang sama bagi perjalanan sehingga 30,000km hingga 40,000km. Bagaimanapun ia hanya perlu ditukar selepas perjalanan melebihi 40,000km kerana elektrod akan menipis. 4. Bateri kereta Bateri perlu ditukar selepas tempoh 18 bulan hingga dua tahun bergantung kepada cara penggunaan. Jika anda sering membuat pengisian semula air suling bateri, ia boleh bertahan sehingga dua tahun. Namun, bateri boleh menjadi 'kong' dalam masa enam bulan seandainya selalu terlupa isi semula dan dibiarkan kering. 5. Air filter (penapis udara) Alatan ini perlu diganti bagi setiap 20,000km namun bergantung kepada jenis dan jenama penapis yang digunakan. 6. Gear oil (minyak roda gerigi) Ia boleh ditukar bagi setiap 60,000km perjalanan bagi pengguna gearbox jenis auto. Berbeza pula dengan pengguna gearbox manual yang perlu ditukar bagi setiap 40,000km perjalanan. Kereta perlu diselenggara mengikut tempoh yang bersesuaian. 7. Brake fluid (minyak brek) dan power steering fluid (minyak stering kuasa) Kedua-dua minyak ini boleh dikeluarkan dan digantikan dengan cecair baharu bagi setiap 60,000km perjalanan. 8. Radiator coolant (penyejuk radiator) Alatan ini perlu ditukar setiap 60,00km perjalanan untuk mengelakkan enjin menjadi cepat panas. 9. Air conditioner belt atau alternator belt Kedua-dua alatan ini perlu ditukar dalam tempoh sama sekiranya bahagian 'ribs' sudah mempunyai kesan retak (crack) halus. 10. Water pump (pam air) Alatan ini perlu ditukar sekiranya menukar timing belt untuk kali kedua. Sebagai contoh, sekiranya anda menukar timing belt bagi setiap 80,000km maka anda perlu gantikan pam air pada penukaran kedua dengan jarak 160,000km. Adalah diingatkan jadual mengikut jarak (km) atau masa (tiga hingga enam bulan) dan seterusnya ini hanya memudahkan pengguna-pengguna kereta melakukan penyelenggaraan. Preventive maintenance (penyelenggaraan pencegahan) ini mampu mengelakkan daripada pengguna kereta menghadapi kerosakan kritikal di masa akan datang. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube