PERCUBAAN kali pertama menyertai pertandingan pantun membawa tuah kepada seorang kerani sekolah apabila dinobat sebagai Juara Pertandingan Pantun Lakon 2024 anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada Khamis. Ratna Atikah Zainal Amin, 33 dari Slim River, Perak, ketika ditemui mStar berkata dia tidak menjangka akan dinobat sebagai pemenang kerana bersaing sengit dengan lima lagi peserta yang hebat. "Saya minat berlakon, pernah menyertai teater tetapi berpantun tidaklah pandai tetapi ingin mencuba. Pertandingan yang saya pernah masuk adalah membabitkan teater cuma pantun di hadapan khalayak seperti ini adalah kali pertama, itu pun selepas terbaca makluman pertandingan di Facebook. "Saya tidak sangka menang sebenarnya kerana saingan hebat, mungkin ini rezeki saya untuk menang malam ini," kata kerani Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Zulkifli Mohammad, Slim River itu ketika ditemui di Wisma DBP, Kuala Lumpur. Ratna Atikah turut dinobat Pelakon Terbaik dan Kumpulan Terbaik. - Foto BSN Selain dinobat Juara Pertandingan Pantun Lakon yang membawa pulang wang tunai RM4,000, Ratna Atikah turut menjadi pemenang kategori Pelakon Terbaik dan Kumpulan Terbaik yang masing-masing menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 dan RM1,500. Tempat kedua pertandingan dimenangi Nurul Izzah Jaminan yang membawa pulang RM3,000 dan tempat ketiga Nisa Madihah Nazri (RM1,500). Nurul Izzah juga dinobat sebagai Pemantun Terbaik dengan membawa pulang RM1,000. Pertandingan Pantun Lakon memasuki edisi kedua selepas kali pertama dianjurkan pada tahun lalu dengan pertandingan itu menggabungkan elemen melafazkan pantun dan persembahan lakonan. ARTIKEL BERKAITAN: Tuah penyertaan saat akhir, juara Pantun Lakon BSN x DBP 2023 bawa pulang 2 hadiah Peserta bertanding secara berpasukan dan pada tahun ini para peserta melakonkan persembahan berdasarkan skrip yang disediakan oleh urus setia. Ketua Pegawai Operasi BSN, Zarir Mohd Rawi, berkata program itu adalah penting untuk mengekalkan kelangsungan bahasa dan sastera Melayu di tengah-tengah arus globalisasi yang semakin mencabar. Ketua Pegawai Operasi BSN, Zarir Mohd Rawi. - Foto BSN "Program ini bukan sahaja mengangkat bahasa dan sastera Melayu tetapi juga memperkukuh jaringan sinergi antara sektor awam dan swasta dalam usaha memperkaya khazanah kebudayaan kita. "Seiring dengan objektif pertandingan ini, kita dapat melihat bagaimana pantun, yang merupakan warisan seni budaya kita, terus relevan dan dapat menarik minat generasi muda dengan sentuhan moden melalui lakonan pentas," katanya. Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari, berkata impak yang paling ketara daripada program itu apabila penganjur berjaya mencungkil banyak bakat baharu dalam kalangan generasi muda. Pantun adalah warisan seni budaya yang terus relevan dan menarik minat generasi muda dengan sentuhan moden. Zarir Mohd Rawi "Dari 22 Ogos hingga 15 Ogos 2024 pertandingan ini dimulakan pada peringkat saringan dan berjaya menghimpunkan sebanyak 41 penyertaan di media sosial. "Impak paling ketara kita berjaya mencungkil banyak bakat dalam kalangan pemantun terutama dari golongan muda termasuklah golongan profesional untuk membudayakan pantun melalui medium teknologi dengan penghasilan video yang baik dan interaktif dengan menjadikan pantun sebagai landasan cerita," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube