SELAIN dekorasi dan tata rias yang menarik, kemasan lantai juga memainkan peranan penting dalam mencantikkan ruang kediaman mengikut konsep diingini. Pemilihan warna dan corak yang sesuai pada lantai akan mewujudkan kesan luas yang mempesona di mata penghuni dan orang lain yanng melihatnya. Maka tidak hairanlah apabila pemilik kediaman masa kini menjadikan cat epoxy sebagai penyeri ruang bagi menggantikan tikar getah mahupun jubin. Tambahan pula ia lebih murah dan mudah diaplikasikan selain kalis air serta tahan lasak. Anda yang ingin memberi 'nafas' baharu pada kediaman, bolehlah cuba bereksperimen menggunakan cat epoxy seperti perkongsian Tukang Rumah Kelantan ini. Kesilapan teknik akan menyebabkan cat epoxy pada lantai mengelembung. 1. Sapu bersih permukaan yang hendak dicat dan pastikan permukaan lantai kering. 2. Bancuh cat epoxy dengan epoxy hardener. Pastikan ia habis digunakan kerana jenis cat ini akan cepat mengeras selepas dicampur dengan hardener. 3. Kalau nak dinding sisi kemas, letak pita pelekat dahulu supaya cat yang 'terbabas' ke dinding tidak meninggalkan kesan buruk. 4. Sapukan cat pada bahagian sisi dahulu menggunakan berus kecil. Kemudian, cat bahagian tengah menggunakan roller. 5. Proses pengeringan cat epoxy mengambil masa dua jam. Namun sebaiknya, biarlah ia mengering dalam masa sehari supaya dapat memberikan kesan yang lebih cantik dan kemas. Tip: Anda dinasihatkan untuk memakai penutup mulut kerana bau hardener sangat kuat dan mungkin akan mengganggu kerja-kerja yang dilakukan. Kebiasaannya cat epoxy dijual dengan kuantiti lima liter, empat liter adalah cat dan satu liter lagi adalah hardener. Fungsi hardener adalah untuk mempercepatkan proses pengeringan cat. Cat epoxy juga boleh digunakan pada jubin dengan syarat, permukaan jubin perlu dikasarkan terlebih dahulu supaya cat dapat menyerap dengan mudah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube