PLASTIK menjadi sebahagian daripada kehidupan kita hampir pada setiap masa. Ia adalah bahan murah, serba boleh dan tahan lama yang digunakan untuk pelbagai keperluan, menjadikan plastik satu kewajipan dalam kebanyakan industri termasuk elektronik, pembinaan, bekalan perubatan, tekstil serta pembungkusan makanan. Namun kemudahan yang kita nikmati ini tanpa sedar mempunyai keburukannya juga. Disebabkan penggunaannya yang meluas, plastik bukan sahaja terdapat dalam produk yang kita gunakan, ada kemungkinan ia sudah memasuki badan kita, makanan dan bahkan air yang kita minum. Antara penyumbang terbesar kepada isu ini adalah botol plastik yang sering dibuang secara sambil lewa, menyebabkan terbentuknya timbunan sampah dan seterusnya pencemaran alam sekitar. Namun tanpa disangka, idea inovatif daripada sekumpulan pelajar universiti ini ternyata boleh membantu mengubah botol-botol terbuang menjadi alat untuk kegunaan sosial. Perkenalkan pasukan M.eco daripada Sunway University, penyelesaian inovatif menerusi MecoBin membuahkan hasil apabila mereka meraih hadiah utama RM10,000 di program Star Next-Gen Eco Innovators anjuran Star Media Group Bhd (SMG) pada acara akhir antara universiti, yang diadakan di Menara Star, Petaling Jaya pada Jumaat. Kumpulan ini muncul sebagai juara daripada keseluruhan 10 pasukan yang bersaing di acara akhir antara universiti. MecoBin adalah tong pengumpulan botol plastik elektronik yang direka khusus untuk komuniti B40. Penyelesaian yang mudah namun berkesan ini membolehkan individu menggunakan tong tersebut untuk mengumpul mata bagi setiap botol yang dikitar semula, mata itu akan dikreditkan ke akaun mereka melalui aplikasi yang disertakan. Program Star Next-Gen Eco Innovators di Menara Star. Pengumpulan mata ini kemudiannya boleh ditebus untuk barangan keperluan harian, meringankan beban keluarga berpendapatan rendah. Pasukan ini juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat bagi menyediakan diskaun atau barangan percuma menerusi sistem penebusan hadiah, memastikan mereka yang terlibat terus diberikan galakan dan dorongan. "Kami sangat gembira dan bersyukur kerana diberikan peluang untuk merealisasikan idea dalam menangani cabaran sisa plastik. "Kemenangan dalam pertandingan ini menjadikan segala usaha keras, penyelidikan dan mesyuarat tanpa henti yang kami lalui berbaloi. "Selepas tamat program ini, kami berharap untuk terus mengembangkan idea dan mencari rakan kongsi atau penaja bagi mengembangkan MecoBin ke tahap seterusnya," kata wakil pasukan tersebut. Pasukan M.eco juga memberikan beberapa petua dan nasihat kepada peserta program pada masa akan datang. "Mulakan dengan idea yang kecil dan jangan berfikir terlalu 'gempak'. "Ada kalanya idea paling mudah boleh diubah menjadi sesuatu yang boleh mengubah dunia. Ia bukan hanya tentang mengejar tempat pertama, tetapi melakukan sesuatu yang boleh membantu orang lain," katanya. Selain daripada pasukan M.eco yang menang besar, idea-idea kreatif lain juga dilihat menonjol, malah meraih pujian atas kebijaksanaan mereka. Di tempat naib juara adalah pasukan FS² dari Universiti UCSI, yang mempersembahkan penyelesaian inovatif mereka, PEGnology. Ia adalah kaedah untuk menukarkan polyethylene terephthalate (PET) yang tidak boleh dikitar semula kepada polyethylene glycol (PEG) yang boleh dikitar semula. Penyelesaian mereka untuk menghasilkan botol yang 100 peratus boleh dikitar semula berjaya meraih hadiah RM7,000. Manakala di tempat ketiga ialah pasukan PlastX dari Universiti UCSI, membawa pulang hadiah RM3,000. Mereka mempersembahkan penyelesaian untuk menggunakan trak kitar semula mudah alih bagi menukar botol plastik menjadi filamen PET bagi pencetakan 3D. Konsep mereka memberikan tumpuan kepada kaedah kitar semula terdesentralisasi yang menukar sisa plastik menjadi barangan praktikal dan lestari. Finalis lain juga menerima sijil sebagai pengiktirafan atas penglibatan mereka dalam program ini. Pemenang tempat kedua program Star Next-Gen Eco Innovators. Memupuk semangat inovasi pada generasi baharu Program Star Next-Gen Eco Innovators dilancarkan pada bulan September untuk memupuk pelajar universiti mendefinisikan semula cara kita menangani cabaran sisa plastik dalam dunia nyata. Mengangkat tema 'Mengubah Sisa Plastik kepada Penyelesaian Lestari', program ini mencabar mereka untuk membangunkan penyelesaian lestari. Ia berpusatkan kepada pendekatan ekonomi melalui pemikiran inovatif secara kolektif, dipersembahkan sebagai cadangan perniagaan yang boleh dilaksanakan. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan pencemaran plastik dan meningkatkan pengurusan sisa plastik dengan pendekatan kreatif yang berorientasikan futuristik. Program ini diadakan di lima universiti di Lembah Klang, iaitu Universiti Sunway, Universiti UCSI, Universiti Taylor’s, Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik, dan Universiti UNITAR International. Sebagai penaja, Coca-Cola Malaysia berikrar untuk memberikan sokongan kepada program Star Next-Gen Eco Innovators dalam mencari penyelesaian kepada cabaran sisa plastik yang kompleks. Pemenang tempat ketiga program Star Next-Gen Eco Innovators. Mendorong inovasi dan kelestarian Ketua Pegawai Perniagaan SMG dan ketua juri program Star Next-Gen Eco Innovators, Lydia Wang, berkata program ini bertujuan memupuk generasi akan datang untuk menjadi pemimpin yang berkelestarian. Ia juga memberikan mereka kemahiran dan platform untuk mengorak langkah ke arah persekitaran yang lebih positif, serta menyediakan mereka bagi menangani cabaran global yang lebih mencabar daripada isu sisa plastik pada masa kini. "Di SMG, kami komited menyokong kelestarian sebagai salah satu nilai teras kami. "Program ini sejajar dengan misi kami untuk meningkatkan kesedaran dan menjadi inspirasi supaya tindakan proaktif diambil berkaitan isu-isu alam semula jadi. "Pelajar universiti ini menunjukkan pemahaman yang mendalam tentang cabaran kelestarian yang sangat kompleks. "Melalui program ini, mereka diperkenalkan dengan konsep seperti ekonomi kitaran. Ia memberikan pemahaman kepada mereka untuk membentuk penyelesaian yang berdaya saing secara komersial," kata Wang. Tambah Wang, dengan menangani isu iklim dan sisa plastik yang meluas, SMG menggalakkan peserta untuk memahami cabaran-cabaran ini bagi membangunkan penyelesaian yang holistik serta relevan untuk jangka masa panjang. "Kemahiran kritikal ini akan menyiapkan mereka supaya dapat memberikan impak kepada perubahan lestari di masa hadapan," ujarnya. Sekumpulan panel juri yang berkaliber dan pakar industri menilai penyelesaian inovatif setiap peserta berdasarkan pelbagai kriteria seperti hubung kait, pelaksanaan, kreativiti, keaslian, kebolehlaksanaan dan potensi impak. Barisan juri termasuk Wang sebagai ketua juri, diikuti Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian Coca-Cola Malaysia, Wan Ahmad Syazwan Mohamed, serta wakil Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia (MPRA) dan Pengarah Precious Plastics Malaysia, Yoong Yi. Sementara itu, Yoong Yi menekankan kepentingan memupuk pemikiran inovatif sebegini dalam kalangan minda anak muda. "Saya bekerja dalam industri kitar semula plastik, perkara ini bukan sesuatu yang kita boleh pelajari dengan mudah di sekolah atau daripada orang ramai. "Ia adalah topik yang tidak ramai orang sentuh, tetapi sangat penting untuk mendidik generasi seterusnya kerana mereka bakal hidup dengan plastik setiap hari jika kita tidak bertindak sekarang. "Program ini adalah cara yang sangat baik untuk melibatkan mereka dalam amalan kitar semula plastik. "Kerana ia membantu mereka untuk memahami mengenai plastik, sisa plastik, cara untuk mengitar semula atau mengitar semula semula (upcycle) dan peranan yang boleh mereka mainkan dalam mewujudkan masa depan yang lestari," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube