SABUN pencuci pinggan menjadi antara keperluan penting di dapur, lebih-lebih lagi bagi mereka yang gemar memasak.
Semakin kerap memasak, semakin banyak penggunaan sabun untuk mencuci pinggan mangkuk, periuk atau kuali yang kotor serta berminyak.
Namun, dengan harga sabun pencuci pinggan yang semakin mahal, tentu ramai teruja mengetahui bahan ini boleh dibuat sendiri (DIY).
Bukan sahaja lebih jimat, malah kuantitinya juga lebih banyak untuk kegunaan seisi keluarga.
Seorang pengguna media sosial, Mainim Saikun, berkongsi cara mudah untuk menghasilkan sendiri sabun pencuci pinggan di rumah.
Limau kasturi perlu direbus sebelum dicampurkan ke dalam adunan.
Bahan diperlukan:
1. 1kg (kilogram) sodium lauryl ether sulfate (bentuk gel)
2. 1kg limau kasturi
3. 10 liter air
4. 1kg garam halus
5. Pewarna makanan (pilihan)
Cara membuatnya:
1. Rebus limau kasturi bersama biji dan kulitnya sehingga mendidih.
2. Toskan, kemudian kisar bersama sedikit air.
3. Tapis campuran tersebut dan ambil jusnya sahaja. Ketepikan.
4. Dalam bekas lain, gaulkan garam dan sodium lauryl ether sulfate sehingga sebati.
5. Tuangkan 10 liter air, jus limau kasturi dan pewarna makanan ke dalam larutan garam dan sodium tadi.
6. Kacau sehingga semua bahan larut dan tiada ketulan.
7. Biarkan semalaman sebelum digunakan untuk hasil yang lebih baik.
Dengan cara ini, anda bukan sahaja dapat menjimatkan kos tetapi juga memastikan sabun pencuci pinggan yang digunakan lebih mesra alam dan selamat untuk seisi keluarga.