suria

Keselamatan rakyat dalam talian keutamaan kerajaan MADANI… Lesen tambah baik kawal selia penyedia media sosial, lindungi pengguna

Melindungi keselamatan pengguna dalam talian terutama kanak-kanak dan golongan rentan menjadi keutamaan kerajaan MADANI. -Gambar hiasan

KERAJAAN MADANI telah menjadikan keselamatan dalam talian sebagai salah satu keutamaan dalam usaha memastikan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Sebagai langkah proaktif, kerajaan menggesa penyedia platform dalam talian supaya lebih bertanggungjawab dalam memantau dan menyekat aktiviti yang berbahaya atau tidak bermoral, terutamanya di media sosial.

Ini termasuklah pematuhan kawal selia dengan memohon lesen bagi membolehkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama yang beroperasi di Malaysia.

Usaha ini dapat mencipta ekosistem digital yang lebih selamat dan terjamin, sekali gus membentuk masyarakat yang lebih berdaya saing tanpa terdedah kepada ancaman siber yang semakin kompleks.

Informasi tanpa kawalan mudah diakses di media sosial. -Gambar hiasan (A7Pro)Informasi tanpa kawalan mudah diakses di media sosial. -Gambar hiasan (A7Pro)

Lindungi pengguna

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Dr Shamshul Anaz Kassim berkata, usaha kerajaan itu seharusnya dipuji kerana ia melindungi pengguna daripada ancaman jenayah siber, penipuan, dan kandungan yang merosakkan.

"Pembukaan akaun media sosial tanpa kawalan menyaksikan sesiapa sahaja boleh memasukkan informasi secara sesuka hati tanpa mengetahui ia sahih atau sebaliknya.

"Malah, dengan ramai individu yang secara tiba-tiba menjadi pempengaruh kemudian mempengaruhi orang lain tanpa batasan. Jadi, langkah awal kerajaan memperkenalkan lesen untuk perkhidmatan pesanan internet dan media sosial adalah langkah yang positif," katanya kepada mStar.

Mengulas lanjut, Shamshul Anaz berkata, ia merupakan perkara yang serius dengan contoh mudah menyaksikan orang ramai lebih mempercayai informasi yang disebarkan di media sosial.

"Popularnya platform media sosial yang pelbagai ini hingga ramai lebih suka tengok ia berbanding berita rasmi di televisyen dan surat khabar.

"Perspektif orang ramai lebih mempercayai informasi di media sosial tanpa membuat semakan sama ada ia sahih atau palsu," ujarnya.

Shamshul Anaz berpandangan langkah awalmemperkenalkan lesen adalah langkah positif ke arah dunia digital yang lebih baik.

Shamshul Anaz berpandangan langkah awal  memperkenalkan lesen adalah langkah positif ke arah dunia digital yang lebih baik.

Justeru itu katanya, orang ramai seharusnya menyedari bahawa langkah kerajaan memperkenalkan lesen penyedia media sosial adalah bertujuan menapis maklumat tidak sahih dan bukan menyekat kebebasan bersuara.

"Perkara ini masih baharu dan mungkin ramai yang masih belum jelas mengenai isu perlesenan ini. Saya percaya sedikit masa lagi masyarakat akan mulai faham.

"Kita perlu sedar bahawa perkara yang berkaitan media sosial ini kebanyakannya melibatkan golongan warga emas dan kanak-kanak mudah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Sebagai pensyarah, Shamshul Anaz berkata, topik berkaitan penipuan di media sosial sering dijadikan kajian yang dilakukan di universiti.

"Kajian itu ingin melihat kenapa orang ramai mudah diperdaya sedangkan mereka tahu perkara yang ditawarkan itu tidak logik. 

"Ia menjurus kepada duit, sikap tamak untuk segera mendapat keuntungan. Ini adalah sebahagian silibus yang kita ajar," katanya.

Mohd Hafiez berkata, sekiranya berlaku pelanggaran kerajaan boleh bertindak ke atas penyedia platform.

Mohd Hafiez berkata, sekiranya berlaku pelanggaran kerajaan boleh bertindak ke atas penyedia platform.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, Mohd Hafiez Mohd Daud menyokong usaha yang diperkenalkan demi kesejahteraan negara.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pelanggaran syarat pelesenan, kerajaan boleh bertindak ke atas penyedia platform yang gagal mengawal aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap mereka. Ini termasuk tindakan undang-undang atau kawal selia bagi memastikan mereka bertanggungjawab dan mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Jelasnya, kerajaan mempunyai kuasa untuk mengenakan denda, menggantung operasi atau mengambil langkah lain yang dianggap sesuai untuk melindungi keselamatan rakyat dalam talian.

"Sebagai contoh, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh mengenakan tindakan ke atas mana-mana penyedia platform jika gagal mengekang jenayah siber, penipuan dalam talian, penyebaran kandungan lucah dan aktiviti yang berbahaya kepada rakyat.

"Warga emas dan kanak-kanak merupakan antara golongan yang mudah dimanipulasi. Malah, golongan profesional juga tidak dikecuali turut menjadi mangsa. Jadi langkah ini adalah tepat bagi mengelakkan lebih ramai orang menjadi mangsa," katanya. 

ByteDance (TikTok) antarapenyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memperoleh lesen. Foto IZZRAFIQ ALIAS (SMG)

ByteDance (TikTok) antara  penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memperoleh lesen. -Gambar hiasan (IZZRAFIQ ALIAS / SMG)

Terkini, empat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama telah mengorak langkah ke arah pematuhan kawal selia dengan memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.

Ia susulan pendirian kerajaan untuk melaksanakan pelesenan platform media sosial yang bakal berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Menurut MCMC, Tencent (WeChat) telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)), menjadikannya penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Selain WeChat, ByteDance (TikTok) juga berjaya memperoleh lesen mereka, manakala Telegram di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka menerimanya dalam masa terdekat.

"Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, dan WhatsApp telah memulakan proses mendapatkan lesen untuk mengendalikan platform berkenaan di negara ini, yang juga dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.

"MCMC akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen yang dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan yang wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," menurut MCMC dalam kenyataan.

Menurut suruhanjaya itu, penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan.

"Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan, serta pada masa yang sama menambah baik pengawasan kawal selia untuk penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia.

"Semua usaha ini adalah penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia," tambah kenyataan itu.

 

Artikel Lain

Suami Kiah Propa meninggal dunia