BAGI penggemar kereta, aksesori tambahan pasti menjadi pilihan untuk memberi sentuhan menarik pada kenderaan.
Namun tanpa kita sedari, beberapa aksesori yang dipasang boleh menimbulkan risiko besar terhadap keselamatan, terutama sekali dalam situasi kecemasan.
Seorang lelaki yang aktif berkongsi tip kereta di media sosial dikenali sebagai Adrian, berkongsi senarai barang yang dianggap berbahaya sekiranya dihias dan dipasang pada kereta.
Menurutnya, empat aksesori ini sebaiknya dielakkan demi keselamatan di jalan raya.
Beberapa aksesori dipasang pada kenderaan boleh mengundang bahaya. -Gambar hiasan
1. Karpet atau alas kaki dengan saiz berbeza
Karpet yang tidak sesuai saiznya boleh menyebabkan gangguan semasa memandu, terutamanya ketika cuba untuk memberhentikan kereta dengan brek kaki.
Ini boleh meningkatkan risiko kemalangan.
2. Airbag cover
Penutup airbag mungkin kelihatan seperti aksesori yang menarik, tetapi ia boleh menghalang airbag daripada mengembang dengan sempurna sekiranya berlaku kemalangan.
Lapik yang diletakkan pada kenderaan ini pastinya boleh mengancam nyawa.
3. Klip tali pinggang keledar
Klip tali pinggang keledar yang digunakan untuk meningkatkan keselesaan atau penampilan boleh menyebabkan masalah keselamatan.
Klip ini mungkin tercabut semasa kemalangan, mengakibatkan penumpang tercampak keluar dan sukar untuk membuat tuntutan insurans.
4. Sticker atau pelekat pada stereng kereta
Menampal pelekat atau sticker pada stereng kelihatan menarik, tetapi boleh menyebabkan kecederaan serius pada wajah jika airbag terbuka ketika kemalangan.
Ini kerana pelekat tersebut boleh menyebabkan kesan cedera yang lebih teruk.