RAMAI pemilik kereta tidak sedar bahawa sesetengah tabiat harian mereka boleh mempercepatkan kerosakan kenderaan.
Tak kira sama ada anda memandu Proton atau Perodua mahupun kenderaan import, anda pasti berdepan masalah besar dalam tempoh singkat jika perkara asas ini diabaikan.
Menurut seorang individu di media sosial dikenali sebagai Zalya Zahari, dia berkongsi tip untuk menjaga kereta supaya tahan lebih daripada lima tahun sebelum mengalami kerosakan.
1. Abaikan penukaran minyak enjin
Jika minyak enjin tidak ditukar mengikut jadual, pelbagai komponen enjin boleh mula rosak satu per satu.
2. Pulas stereng sampai 'habis'
Memang boleh pusing stereng sampai habis, tapi jangan sampai terdengar bunyi.
Lama-kelamaan, stereng akan mula berbunyi setiap kali membelok, dan akhirnya memerlukan pembaikan yang mahal.
Memandu secara berhemah dapat memanjangkan jangka hayat kereta.
3. Pandu laju di bonggol jalan
Kalau suka ‘terbang’ di atas bonggol, bersedialah untuk kos pembaikan absorber yang tinggi.
Bonggol diletakkan untuk memperlahankan kenderaan, bukan untuk dijadikan ‘litar perlumbaan’.
4. Tukar gear ‘P’ terlalu cepat
Daripada gear ‘D’, jangan terus ke ‘P’ kerana ia boleh memberi kesan buruk pada gearbox.
Cara yang betul ialah dengan turutan D ke N ke P.
5. Isi angin tayar tidak mengikut panduan
Tekanan tayar yang tidak betul boleh menyebabkan mudah pecah, bunga cepat haus dan kereta menjadi tidak stabil.
6. Kerap menunda waktu servis
Bukan sahaja boleh menyebabkan 'warranty void', malah kereta juga akan mengalami masalah dalam jangka panjang.
Sebaiknya, rujuk aplikasi servis atau manual kereta, bukan hanya bergantung kepada pusat servis.
Kereta perlu diselenggara mengikut ketetapan bagi mengelakkan warranty void.
7. Selalu biarkan minyak hampir habis
Memandu dengan tangki hampir kosong setiap minggu boleh menyebabkan fuel pump cepat rosak kerana ia tidak mendapat penyejukan yang cukup.
8. Biarkan makanan terbuka dalam kereta
Sisa makanan yang dibiarkan boleh mengundang lipas, terutama jika menggunakan karpet jenis ‘mi segera’.
Lebih teruk, ada jenis lipas yang menggigit wayar dalaman kenderaan.
9. Terus tekan minyak selepas lampu isyarat bertukar hijau
Elakkan menekan pedal minyak secara agresif selepas berhenti di lampu isyarat.
Ini boleh mempercepatkan kehausan enjin dan komponen lain.
10. Malas cuci tahi burung pada kereta
Tahi burung mengandungi asid yang boleh menghakis cat kereta jika dibiarkan terlalu lama.
Jika terkena, segera bersihkan untuk mengelakkan kesan kekal pada badan kereta.