suria

Sijil MyIPO bukan lesen eksklusif untuk pemilik, tak cukup kuat halang orang lain guna karya

Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta adalah notifikasi pemilikan karya dan bukannya lesen eksklusif kepada pencipta.

HAK cipta merupakan perlindungan automatik yang terpakai sebaik sahaja sesuatu karya dicipta dalam bentuk nyata seperti penulisan, lukisan atau rakaman tanpa memerlukan pendaftaran secara rasmi.

Meskipun begitu, kebanyakan pemilik karya bertindak mendaftarkan hasil ciptaan mereka di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai langkah perlindungan.

Namun, pendekatan berkenaan bukanlah jaminan bahawa karya mereka akan terlindung sepenuhnya daripada diplagiat atau digunakan tanpa kebenaran. 

Memetik perkongsian penulis Shamsul Amin, Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta berfungsi sebagai bukti mengesahkan kewujudan sesuatu karya pada tempoh tertentu serta pemilikannya oleh individu atau entiti yang didaftarkan.

Dalam erti kata lain, sijil itu bukanlah lesen eksklusif yang memberikan pemilik kuasa mutlak untuk menghalang orang lain menggunakan karya tersebut.

"Pemilikan dan perlindungan hak cipta sebenarnya automatik sebaik sahaja pencipta hasilkan sesuatu karya.

"Pendaftaran hak cipta kepada badan harta intelek MyIPO hanya notifikasi sukarela. Sekadar daftar untuk dapat sijil dan ada hitam putih yang lebih 'kuat' orang kata.

Sijil tersebut bukanlah satu-satu bukti yang boleh dikemukakan di mahkmah.

"Sijil MyIPO itu tak memberikan apa-apa hak eksklusif. Ia hanya notifikasi. Analogi mudah seperti surat beranak, bukan lesen atau endorsement," jelasnya menerusi hantaran di laman Thread.

Walaupun tidak memiliki hak mutlak, sijil itu bagaimanapun berguna dalam urusan perlesenan misalnya pencipta memperoleh pengiktirafan dan pampasan sewajarnya sekiranya karya mereka digunakan oleh pihak lain.

"Sijil notifikasi ni juga boleh digunakan untuk perlesenan hak cipta, katakan kalau ada yang nak pakai rekaan kita dalam rekaan mereka, dan royalti atau honorarium perlu diberikan kepada pencipta asal," ujrnya.

Tambah Shamsul lagi, apabila wujud pertikaian hak cipta, sijil notifikasi tersebut sememangnya boleh digunakan sebagai bukti tambahan namun ia bukanlah satu-satunya cara membuktikan pemilikan tersebut.

Sebaliknya bukti-bukti lain yang merekodkan sejarah penciptaan awal karya adalah lebih kukuh dan dipercayai kerana ia lebih sukar untuk dipalsukan berbanding sekadar memiliki sijil pendaftaran.

"Pembuktian hak cipta melalui bahan lain (lakaran asal, proses idea, catatan tarikh pada fail digital), sebenarnya lebih kuat berbanding sijil notifkasi ini.

"Kalau dua (atau tiga) pihak memfailkan tuntutan pelanggaran hak cipta di mahkamah, pihak yang boleh kemukakan bukti penciptaan rekaan itu yang ada kecenderungan untuk menang," ujarnya.

Berbeza denga paten dan tanda niaga (trademark), kedua-duanya memerlukan pendaftaran hak eksklusif untuk mendapat perlindungan undang-undang terhadap identiti jenama termasuk logo, tagline, simbol.

Artikel Lain