suria

Belajar 7 tip ini dulu sebelum singgah gerai lemang... Elak beli jenis mentah, berkerak atau basi

Lemang yang dimasak sempurna sesuai dihidangkan dengan juadah lain seperti rendang dan serunding.

LEMANG merupakan juadah tradisi wajib yang sering menjadi pilihan rakyat Malaysia setiap kali tibanya Aidilfitri.

Keenakan lemang akan menjadi sempurna apabila ia dimakan dengan rendang, serunding atau kari.

Namun, tidak semua lemang yang dijual berkualiti dan dimasak dengan sempurna lebih-lebih lagi jika pembeli tidak tahu cara yang betul ketika memilihnya di gerai.

Oleh itu, penting untuk mengetahui tip berguna ini agar anda tidak kecewa dengan lemang yang dimakan pada Syawal.

1. Pilih gerai yang banyak kayu untuk dibakar 

Itu adalah petanda mereka memang bakar lemang di situ dan bukannya sekadar 'tayang' kepada pelanggan.

Ada segelintir peniaga yang menipu pelanggan dengan menyusun lemang atas bara api walhal ia telah pun dikukus terlebih dahulu.

2. Pilih lemang bersaiz sederhana

Jangan pilih lemang yang terlalu besar kerana dikhuatiri ia tidak dimasak dengan sempurna pada bahagian dalam.

Kalau lemang terlalu kecil, isi pulut boleh jadi agak keras, liat dan terlalu garing pula.

Pengguna dinasihatkan untuk perhatikan beberapa ciri lemang sebelum membeli.

3. Belah bahagian bawah lemang

Sebelum beli lemang, minta peniaga belah sedikit bahagian bawah lemang untuk pastikan ia dimasak sempurna.

Boleh jadi bahagian atas nampak seperti telah dimasak tetapi rupanya-rupanya bahagian bawah masih mentah.

4. Elakkan gerai yang menggunakan kayu palet

Anda dinasihatkan untuk tidak membeli di gerai yang menggunakan kayu palet sebagai bahan bakar kerana dibimbangi lemang akan tercemar dengan bahan beracun.

Ini kerana kayu jenis itu disembur dengan coating yang beracun untuk mengelakkan daripada dimakan anai-anai.

5. Pilih lemang yang 'kepala' santannya kering

Semasa memilih, perhatikan bahagian atas lemang atau 'kepala' iaitu tempat pengumpulan lemak-lemak santan yang mendidih kerana dibakar.

Cari bahagian kepala santan yang kering kerana ia menandakan lemang tersebut boleh bertahan lama sehingga dua hari.

6. Hidu dahulu sebelum beli

Cuba hidu bahagian kepala santan untuk tahu sekiranya ia sudah basi atau belum.

Kebiasaannya, santan yang sudah basi atau disimpan lebih dua hari akan mengeluarkan bau masam atau tidak enak.

7. Cara simpan lemang supaya tahan lama

Kaedah penyimpanan lemang juga penting untuk pastikan ia bertahan lama misalnya terbalikkan kedudukan lemang dan biarkan ia berdiri secara upside down.

Cara ini dapat mengasingkan minyak di bahagian atas lemang yang boleh menyebabkan lemang cepat basi.

 

 

Artikel Lain