suria

Sudah bersedia sangkut dalam trafik sesak menjelang Aidilfitri? Ini petua elak kaki bengkak akibat duduk terlalu lama

Duduk terlalu lama dalam kederaan boleh merupakan punca kaki menjadi bengkak.

TIBA sahaja musim perayaan tentunya ramai yang mula merancang perjalanan pulang ke kampung halaman untuk bertemu berkumpul bersama keluarga tercinta.

Ada yang memilih menaiki pengangkutan awam, sementara yang lain lebih selesa menggunakan kenderaan persendirian, lebih-lebih lagi untuk perjalanan jarak jauh.

Namun, duduk terlalu lama dalam kenderaan disebabkan jarak perjalanan jauh atau kesesakan lalu lintas boleh menyebabkan ketidakselesaan dan meningkatkan risiko masalah kesihatan.

Menurut podiatrist Nelya Lobkova, peredaran darah tidak lancar boleh mengakibatkan kaki bengkak terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan saluran darah kaki.

Antara faktornya adalah masalah kekurangan urat kronik, aliran darah lemah dalam urat kaki, gangguan injap urat kaki dan sejarah penyakit urat tersumbat atau Deep Vein Thrombosis (DVT).

"Bagi orang yang duduk lama di dalam kapal terbang, kereta api atau kereta, risiko DVT  atau saluran darah tersumbat akan meningkat," ujarnya.

Kesesakan lalu lintas menyebabkan pengguna terperangkan berjam-jam dalam kereta.

Tambah Nelya, pergerakan kaki penting untuk mengepam darah ke jantung, namun jika kaki tidak bergerak untuk tempoh yang lama, ia boleh menyebabkan pengumpulan darah di bahagian bawah kaki.

Apabila darah berkumpul tekanan urat dalam kaki meningkat menyebabkan banyak cecair keluar dari saluran darah ke tisu sekeliling sehingga mengakibatkan bengkak.

"Otot di kaki kita tidak bekerja, dan urat di bahagian bawah badan perlu bekerja lebih keras untuk menghantar darah kembali ke jantung.

"Apabila darah berkumpul di dalam urat, ia menyebabkan pembengkakan atau bahasa mudahnya, pengumpulan cecair di kaki," ujarnya.

Antara tip untuk mencegah kaki bengkak dalam perjalanan jauh:

1. Melukis huruf pada lantai dengan menggerakkan kaki.

2. Silangkan kaki beberapa kali sambil duduk.

3. Angkat dan turunkan tumit kaki beberapa kali.

4. Berhenti memandu seketika dan lakukan aktiviti regangan badan.

5. Mengenakan stoking kompresi untuk membantu peredaran darah.

Artikel Lain