suria

Jangan sibuk tanya WiFi, pantau kelakuan anak-anak... Ini adab beraya rumah orang yang tetamu perlu tahu

Adab sebagai tentamu perlulah dijaga agar kunjungan kita disenangi tuan rumah. -Gambar hiasan

SELAIN meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, Hari Raya Aidilfitri juga merupakan masa yang sesuai untuk merapatkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan. 

Bagi mereka yang sudah lama tidak bersua, ukhwah pasti akan kembali terjalin melalui kunjungan ke rumah saudara-mara dan sahabat handai.

Namun, dalam keseronokan berkunjung dari rumah ke rumah, harus sentiasa menjaga adab sebagai tetamu agar kehadiran kita membawa kegembiraan dan bukannya kesulitan.

Memetik perkongsian seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Jijah, berikut adalah panduan menziarah ke rumah orang agar kehadiran kita disenangi tuan rumah:

1. Elakkan datang terlalu awal

Pagi Raya biasanya sibuk dengan pelbagai urusan seperti solat sunat Aidilfitri, sesi bermaaf-maafan, menikmati juadah bersama keluarga, dan merakam kenangan.

Oleh itu, elakkan berkunjung terlalu awal kerana ia boleh mengganggu persediaan tuan rumah.

2. Jangan bertandang lewat malam

Bersilaturahim itu penting, tetapi jangan sampai menyusahkan tuan rumah. 

Berkunjung pada waktu yang tidak sesuai, terutama tengah malam, boleh mengganggu waktu rehat mereka.

Makan sahaja juadah yang dihidangkan tuan rumah.

3. Kawal kelakuan anak-anak

Pastikan anak-anak berkelakuan baik ketika bertandang. 

Ingatkan mereka agar tidak mengambil duit raya lebih daripada sekali atau membuka sampul di hadapan tuan rumah.

Jika mereka bermain, pastikan tidak terlalu bising atau membuat sepah yang boleh menyusahkan tuan rumah.

4. Jaga percakapan

Elakkan topik sensitif seperti perkahwinan, anak, penampilan, atau hal peribadi tuan rumah. 

Mungkin niat kita hanya ingin bergurau tetapi lain pula penerimaan orang yang mendengar apatah lagi jika kata-kata itu berbaur biadab.

5. Jangan banyak songeh

Hormati peraturan rumah orang. Jangan sibuk bertanya tentang kata laluan WiFi, menukar saluran TV sesuka hati, atau mengharapkan layanan istimewa.

Andai anda datang beraya hari keempat, makan sahaja makanan atau kuih raya yang terhidang tanpa harapkan hidangan berat.

6. Jaga Kebersihan dan keselesaan rumah orang

Anggap rumah orang seperti rumah sendiri dalam aspek kebersihan dan keselesaan. 

Jika menggunakan tandas, pastikan ia ditinggalkan dalam keadaan bersih dan flush dengan betul.

Begitu juga jika anak-anak menumpahkan kuih atau makanan, segera bersihkan kotoran tersebut tanpa membiarkan tuan rumah melakukannya.

Artikel Lain