suria

Ada taman rahsia atas bumbung... Wow! Landskapnya sungguh memukau

Siapa sangka ada taman secantik ini di atas bumbung pusat beli-belah The Gardens.

TERLETAK di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur, berdindingkan pemandangan bangunan pencakar langit dan ‘tergantung’ enam tingkat di atas syurga beli-belah, taman atas bumbung (rooftop) ini menawarkan rekaan landskap ala tropika dan urban kontemporari buat pengunjung.

Ramai yang tidak tahu sebenarnya rekaan landskap atas bumbung mempunyai cabaran tersendiri, namun ia sebenarnya mampu diterjemahkan menjadi ruang memukau jika tumbuhan dan struktur kejur (hardscape) yang dipilih bersesuaian dengan pemandangan di sekitarnya.

Bagi ruang landskap di bangunan yang menjadi rumah lebih 200 jenama mewah antarabangsa, mStar Online menemu bual arkitek landskap dari Terang Bulan Landscape Sdn Bhd, LAr., Tan Peng Koon untuk berkongsi mengenai konsep taman yang terletak di The Gardens Mall L6 Rooftop ini.

Peng Koon (kiri) dan rakan kongsinya, LAr. Mohd Firdaus Kamar Ariff.

“Ketika pelanggan menemui kami untuk membentuk kawasan ini, mereka hanya ada dua permintaan iaitu taman yang berfungsi sesuai untuk penganjuran sebarang jenis acara dan pada masa sama bermanfaat untuk orang awam.

“Ia direka menjadi sebuah taman rahsia di atas bumbung dan berkonsep urban dengan suntikan elemen bulatan dan geometri, sesuai sebagai lokasi untuk pengunjung lari seketika dari kesibukan kota,” katanya.

Tambah Peng Koon, taman seluas 250 meter persegi itu pernah menerima Anugerah Honor untuk Kategori Kontraktor Lanskap pada Anugerah Seni Bina Landskap (MLAA) 2016 yang lalu.

Kata arkitek landskap yang memiliki hampir tujuh tahun pengalaman dalam bidang tersebut, pilihan vegetasi atau tumbuhan hidup bagi landskap atas bumbung juga tidak banyak kerana ruang tanamannya terbatas disebabkan jarak antara permukaan tanah dengan konkrit bangunan agak terhad.

Taman ini menerima Anugerah Honor untuk Kategori Kontraktor Lanskap pada Anugerah Seni Bina Landskap (MLAA) 2016.

“Memandangkan tapak bagi taman ini sedia ada sejak ia dibina 15 tahun lalu, maka tidak begitu banyak perubahan dari segi binaan dibuat supaya tidak mengganggu struktur asalnya.

“Setiap tumbuhan yang dipilih di taman ini ada fungsi tersendiri dan kami perlu memastikan ‘slab’ kalis air yang digunakan benar-benar dipasang dengan betul supaya air tidak bocor ke bahagian pusat beli-belah,” jelasnya.

Selain itu, setiap vegetasi yang dipilih tidak terhad kepada aspek estetik sahaja, tetapi mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Rekaan landskap atas bumbung yang hendak dibina haruslah mengambil kira struktur asal bangunan.

Jom kenali fungsi beberapa tumbuhan yang menjadi penyeri landskap di taman atas bumbung The Gardens:

Bunga tahi ayam atau Lantana Camara: Pokok selalu berbunga dan akan menarik rama-rama.

Pampano atau Calathea lutea: Sebagai penghadang pandangan dan memberikan privasi kepada pengguna kolam renang di hotel yang berada di tingkat bawah.

Duranta kuning atau Duranta gold: Daun yang berwarna emas kekuningan menaikkan mood ceria dan seri kepada kawasan ini.

Artikel Lain