suria

Tiap kali masuk kedai CD Norzaid seperti tak nampak jalan keluar, patutlah penyanyi pun teruja

Sebahagian koleksi cakera padat (CD) milik Norzaid Mansor disusun kemas dalam kabinet yang ditempah khas. Foto AZLINA ABDULLAH

PITA kaset atau cakera padat (CD) mungkin tidak lagi dilihat sebagai barangan berharga atau istimewa kepada sesetengah orang, terutama hari ini di mana penggemar muzik lebih suka memuat naik lagu atau album kegemaran secara dalam talian seperti di aplikasi Apple Music (iTunes) mahu pun Spotify.

Perubahan itu banyak memberi impak kepada landskap industri muzik apabila ramai artis tidak lagi berani tampil dengan album berbentuk fizikal, malahan banyak kedai menjual CD pula terpaksa gulung tikar kerana penjualannya tidak mendapat sambutan.

Namun lain pula bagi Norzaid Mansor, yang gemar mengumpul bukan sahaja CD dan kaset tetapi juga piring hitam.

Selain CD, Norzaid turut mengumpul piring hitam yang kebanyakannya daripada artis tempatan.

Lelaki berusia 40 tahun ini berkata, sehingga kini dia mempunyai lebih 1,000 koleksi barangan berkenaan yang disusun kemas dalam kabinet khas mengikut abjad daripada pelbagai artis tempatan dan luar negara.

Cerita anak jati Kuala Lumpur ini, dia mula mengumpul kaset, CD dan piring hitam sejak usianya 17 tahun lagi. Dengan perubahan landskap industri muzik hari ini, ia melonjak harga koleksinya dan nilai sentimentalnya, terutama apabila ada di antaranya sudah tiada lagi di pasaran.

"Saya masih ingat kaset pertama yang saya beli adalah album Raja Ema berjudul Titik bermula yang dikeluarkan pada 1988, manakala Puncak Kasih Ziana Zain ialah CD pertama yang saya beli.

Piring hitam daripada Ramlah Ram antara koleksi kesayangannya.

"Antara penyanyi yang saya gemari adalah seperti Aishah dan Ramlah Ram dan Alhamdulillah kesemua kaset, CD dan piring hitam asal keluaran pada era 1980-an dan 1990-an semuanya berjaya saya miliki.

"Saya lebih gemar mencari CD asal terutamanya pada era 1990-an kerana kebanyakan album ketika itu proses mastering dibuat di Jepun dan kualiti bunyinya sangat berbeza," katanya yang gemarkan genre pop dan R&B.

Bercerita lanjut mengenai hobinya itu, Norzaid berkata, jika berpeluang melancong ke luar negara pula, destinasi wajib yang akan dilawati adalah kedai CD terutamanya di Australia.

Norzaid mempunyai lebih 1,000 CD yang dikumpul sejak 1995.

Cerita Norzaid, Australia masih mempunyai banyak kedai yang menjual CD malah dia pernah menghabiskan masa selama empat jam semata-mata untuk mencari koleksi kegemarannya.

"Setiap kali saya masuk kedai jual CD atau piring hitam saya seperti tidak nampak jalan keluar lagi! Ia seperti satu terapi untuk saya dan sekiranya bersabar dan pandai mencari pasti akan jumpa koleksi yang 'rare'.

"Setiap kali ke luar negara saya tidak kisah kalau tidak ke tempat lain janji saya dapat ke kedai CD! Tetapi zaman sekarang semakin mudah kerana boleh membuat pembelian dalam talian," katanya yang memasang impian untuk mencari koleksi CD di Jepun.

Norzaid menghabiskan masa lapang mendengar lagu.

Sementara itu, cerita Norzaid, hobinya itu turut memberinya peluang untuk mengenali rapat idolanya seperti Aishah, Ramlah Ram dan Nourul Wahab apabila langkahnya memuat naik gambar album-album di Instagram mendapat perhatian mereka.

"Saya rajin juga letak koleksi CD dan piring hitam di Instagram dan tagged penyanyi asal. Dari situ mereka meninggalkan komen atau menghantar mesej peribadi bertanyakan mengenai koleksi saya.

"Seperti Ramlah Ram, dia sendiri tidak ada salinan album-album lamanya dan teruja melihat koleksi saya.

Norzaid menyusun koleksi piring hitam miliknya dalam bekas khas agar ia tidak rosak.

"Dari situ kami sering berbual dan berjumpa bersembang mengenai muzik, mendengar cerita mereka tentang memori merakamkan sesuatu album memang seronok sehingga hubungan itu bertambah rapat," katanya yang turut menggemari artis seperti Fauziah Latiff, Mariah Carey, Whitney Houston dan Luther Vandross.

Ditanya sama ada dia terfikir untuk menjual koleksinya suatu hari nanti, Norzaid sebaliknya berkata, dia akan terus mengumpul kerana memnyedari pada masa hadapan hasil koleksi barangan berkenaan akan menjadi item berharga untuk dikongsi dengan generasi akan datang.

"Saya kumpul CD dan piring hitam sejak dulu kerana tahu suatu hari nanti ia akan jadi barang berharga dan memang tidak mungkin saya akan jual," jelasnya.

Norzaid Mansor, CD, Piring Hitam

Artikel Lain