suria

Kerana ratu cantik dan mahkota, Amet sanggup buat ‘kerja gila’

Amet bersama sebahagian koleksi mahkota. Foto ihsan Amir Azhar Zainol

DIA bukan Pak Andam, jauh sekali penganjur pertandingan ratu cantik, tetapi hobinya sudah boleh mengubah susun atur sudut kediamannya di Langkawi, Kedah, umpama galeri yang boleh menjadi kegilaan ramai wanita.

Ibarat kertas dinding, sebahagian besar ruang tengah di kediaman Amir Azhar Zainol, memaparkan ratusan gambar wanita-wanita tercantik di dunia.

Beberapa rak kaca turut mencuri tumpuan, ia menghimpunkan banyak replika mahkota peserta pertandingan-pertandingan ratu cantik dari seluruh dunia.

Sebahagian galeri Amet di kediamannya yang menghimpunkan koleksi mahkota.

Amir Azhar atau lebih mesra dengan panggilan Amet berkata, hobi itu bermula sejak berpindah ke Langkawi dan bekerja sendiri, apatah lagi banyak ruang di rumahnya untuk dihiaskan.

"Minat kumpul gambar-gambar ratu cantik sejak belajar di sekolah lagi, tapi lama-kelamaan Amet fikir, mahkota dikaitkan dengan pertandingan ratu cantik. 

"Pembelian terawal adalah pada 1990an, Amet mendapatkan replika mahkota ratu cantik Miss World dan Miss Universe secara dalam talian," katanya yang berusia 53 tahun ini kepada mStar Online.

Bukan sekadar hobi, koleksi mahkota juga terapi buat Amet.

Anak kelahiran Alor Setar ini berkata, setakat ini lebih 200 mahkota yang dikumpul dan harga yang paling mahal pernah dibelinya adalah RM3,000 sebuah.

Bukan setakat replika mahkota pertandingan ratu cantik, apa saja perhiasan di kepala itu seperti untuk pengantin dan persembahan, pastinya dibeli.

"Saya sebenarnya tak kisah mahkota apapun, asalkan ia cantik dan harganya berpatutan. Mahkota yang paling disukai sudah tentu kesemua replika mahkota Miss Universe dan Miss World," kata Amet yang pernah menyaksikan sendiri secara langsung bagi pertandingan Miss Universe 2005 di Bangkok, Vietnam (2008) dan Miss Universe 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Koleksi replika mahkota Miss Universe.

Berpengalaman dalam bidang perhotelan selama lebih 28 tahun dan pernah mengusahakan sebuah kafe, Amet menjadikan koleksi mahkotanya sebagai terapi ketenangan apabila berasa penat dan tertekan.

"Setiap kali saya buka kotak kiriman barang yang ditempah secara dalam talian yang baru tiba dan melihat mahkota baharu di dalamnya, ia terus menceriakan hari saya. 

"Kadang-kadang sebelum tidur saya pandang dulu sebahagian koleksi yang disimpan di dalam bilik, cukup membuatkan saya tersenyum. Begitu kuat 'kuasa' mahkota ini bagi pengumpulnya seperti saya," kata anak sulung daripada lima beradik ini.

Amet merupakan peminat kepada ratu cantik Miss Universe 1988, Porntip Nakhirunkanok dari Thailand; Miss Universe 1991, Lupita Jones dari Mexico dan Miss Asia Quest 1981, Bernadine Rosemarie Fernando Ramanayake yang mewakili Sri Lanka.

Dia juga pernah membuat 'kerja gila' apabila sanggup menaiki pesawat ke Bangkok, Thailand, semata-mata mahu mendapatkan senaskhah akhbar yang melaporkan mengenai pertandingan ratu cantik.

Dinding kediaman Amet dihiasi dengan gambar-gambar wanita tercantik dunia.

Hobi Amet mengenai ratu cantik terutama mengumpul mahkota mendapat sokongan keluarganya, kecuali bapanya namun pada masa sama tidak melarang.

"Kira-kira enam tahun lalu semasa arwah ayah masih ada, kami sekeluarga keluar membeli-belah menjelang hari raya Aidilfitri di Pekan Rabu Alor Setar.

"Kami singgah di sebuah kedai menjual baju Melayu dan di situ menemukan saya dengan sebuah mahkota kecil, seperti tiara dan rekaannya cukup ringkas," katanya.

Amet memegang replika mahkota Miss World.

Diletakkan agak tersorok di sudut kedai dan kelihatan berabuk seperti sudah lama tidak terusik, mahkota tersebut sebenarnya adalah kepunyaan arwah isteri pemilik kedai yang dahulunya merupakan seorang Mak Andam.

Walaupun asalnya bukan untuk dijual, pemilik kedai itu sedia menjualnya pada harga murah iaitu RM50, tetapi malangnya Amet sudah kehabisan wang kerana banyak berbelanja sebelum itu.

“Saya kata tak apalah pakcik, minta tolong simpan dulu. Bila dah ada duit, nanti saya datang balik untuk beli. Ayah mendengar perbualan kami, tapi dia diam saja.

“Selepas cuti raya, saya dihubungi anak saudara dan menerusi kiriman gambar, saya terkejut apabila mendapati mahkota di kedai baju Melayu tu telah dibeli ayah untuk saya,” katanya.

Amet bersama pelakon dan pengacara yang juga bekas ratu cantik Miss Malaysia Universe 2003, Elaine Daly.

Mengakui bapanya bukan seorang yang suka berterus-terang, tetapi dalam diam-diam menyokong hobinya telah membuatkan hatinya cukup tersentuh sehingga menangis terima pemberian itu.

“Arwah ayah beli mahkota tu sebab dia tahu saya sukakannya, jadi dia pergi beli dulu sebab risau ia dibeli orang lain. Walaupun murah, ia cukup istimewa buat saya, ada nilai sentimental,” ujarnya dengan nada sebak.

Mengenai koleksi mahkotanya, Amet pernah ditanya rakan-rakan mengapa tidak disewakan saja untuk pengantin bagi sesi fotografi dan bersanding di atas pelamin.

Mini galeri  ratu cantik turut dikunjungi pelancong asing.

Amet berkata, dia tidak menyewakannya pada masa ini, tetapi pernah meminjamkan kepada kenalannya untuk majlis perkahwinan mereka.

“Selagi ia boleh dijaga dengan baik, mereka boleh pinjam mana-mana mahkota tapi bukan replika mahkota Miss Universe dan Miss World. Dua jenis mahkota ini saya tak benarkan.

“Mana ada pengantin bersanding pakai mahkota besar-besar, biasanya yang kecil saja seperti tiara. Tak sesuai, nanti tak pasal-pasal kena kecam," katanya secara berseloroh.

Terbaru, Amet kini boleh menarik nafas lega apabila hobinya sejak bertahun-tahun itu akhirnya dapat dikongsi kepada orang ramai apabila membuka galeri mini ratu cantik di kediamannya di Pantai Cenang, Langkawi.

Miss World Malaysia 2007 dan Miss Universe 2011, Deborah Henry antara ratu cantik yang pernah berkunjung ke galeri milik Amet.

Jelas Amir, dia mula menyimpan hasrat untuk membuka galeri tersebut sejak tiga tahun lalu tetapi kerana tuntutan tugas di AS menyukarkannya untuk mengendalikan galeri itu untuk kunjungan orang ramai.

"Amet dah pulang ke Malaysia dan banyak masa di Langkawi, jadi Amet mahu buka galeri mini ini kepada orang ramai termasuk pelancong asing memandangkan rumah hanya jarak berjalan kaki dari Pantai Cenang.

"Lagipun sekarang ni dah makin ramai pengikut ratu cantik di Malaysia dan sudah tiba masanya ada platform seperti galeri ini selain majlis dan media sosial," katanya yang merujuk kepada pantai yang menjadi antara tumpuan utama pelancong yang berkunjung ke pulau itu.


Kenangan... Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman (dua, kanan) semasa kunjungan beliau ke galeri mini ratu cantik.

Dengan bayaran masuk RM10 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, galeri yang dibuka dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam itu memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman memakai mahkota pelbagai rekaan yang menarik.

Bagaimanapun Amet berkata, pengunjung perlu menghubunginya di talian 010-8228605 terlebih dahulu untuk berkunjung ke mini galeri yang baru dibuka sejak akhir bulan lalu.

"Alhamdulillah ia mendapat sambutan yang menggalakkan terutama pelancong asing. Selain memberi tambahan kepada tarikan pelancong, ia juga menjadi sumber pendapatan sampingan buat saya," kata Amet sambil menambah galerinya sebelum ini pernah dikunjungi beberapa ratu cantik seperti Miss World Malaysia 2007 dan Miss Universe 2011, Deborah Henry dan Miss Malaysia India 2000, Lakshmi Appadorai, selain selebriti dan pengacara terkenal, Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman.

Artikel Lain