LEBIH 30 tahun lalu, seorang anak kecil sering membantu neneknya menjual bunga, ia sekadar untuk mengisi masa terluang ketika membesar di Tanah Merah, Kelantan. Bayangkan, budak perempuan yang penampilannya umpama tomboy, tetapi tanpa segan silu menjual bunga-bungaan, tentu sekali rare kan! Bermula dari detik itu, seolah-olah bunga dan si cilik ini bagaikan tidak dapat dipisahkan lagi. Mana tidaknya, Tan Lian Hwa iaitu nama neneknya yang membawa maksud bunga cantik dan ketika usia mudanya, wanita yang kini berusia 95 tahun berniaga secara sambilan juga menjual bunga-bungaan. Jadi, tidak hairanlah bunga juga adalah subjek pilihan cucunya, Najihah Lee Abdullah dalam meluahkan perasaan dan menenangkan jiwanya. Dan tidak disangka-sangka 'jodoh' wanita ini dengan mawar yang cantik dipandang tapi susah didekati ini berkekalan hingga ke saat ini. Memang benar kita tidak pasti apa yang tersurat dan tersirat pada kanvas kehidupan yang ditentukan Ilahi, dan bagi wanita yang baru menjangkau usia 40 tahun ini, minatnya kepada kuntuman bunga ros tidak perlu disangkal kerana bergelumang dengan subjek itu membuatkan jiwanya tenang, malah ia penawar ketika resah. Hampir 20 tahun 'bersama', Najihah atau lebih mesra disapa Jiha tidak pernah jemu melukis bunga ros. Bukan saja mawar merah, tetapi ia turut diwarnakan kuning, putih, kelabu dan coklat, malahan pelbagai tona lagi. Semuanya dilakar dengan begitu teliti dan menawan sekali. Antara lukisan mawar yang ditempatkan di sebuah kafe di tengah bandar Kuantan, Pahang. Mula serius membentuk kelopak bunga dengan alor warna pada usia 21 tahun ketika menjalani latihan praktikal di bawah bimbingan Hatta Ismail, Jiha tidak menoleh lagi walau ada yang menganggap lukisannya kononnya bersifat seksis. Ros sebagai subjek utama pilihan graduan peringkat Ijazah Seni Lukis dan Seni Reka, Fakulti Seni Halus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Diploma Lepasan Ijazah Perguruan ini ternyata tidak terlepas kritikan, malahan ada juga suara positif yang terus memberi dorongan serta semangat untuk dia berkarya. "Ros sesuai dengan jiwa seorang wanita, penuh kelembutan dan kasih sayang dan membuai perasaan. Bunga ros ada anatomi dan keunikan susunan kelopak, warna dan bentuk yang berbeza lagi unik. "Mungkin juga ada yang tidak tahu, ros adalah subjek universal yang mengambil alih pelbagai isu yakni lambang politik, ritual, keagamaan dan sosial, malahan digunakan dalam pembuatan minyak wangi, aromatherapi dan perubatan," jelas guru seni di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Sera, Kuantan. Tidak kira apa yang diperkatakan, Jiha yang meminati kerja tangan artis Amerika Syarikat, Georgio O'Keeffe ini tidak pernah lelah berkarya, selain mahu melahirkan generasi muda celik seni dalam kalangan anak muridnya kerana percaya ia perlu dipupuk dari awal. "Setiap lukisan menggambarkan perasaan dan ketika melorek bentuk dan warna, walaupun subjeknya sama tetapi hasilnya tetap berbeza. "Kedalaman kelopak mawar adalah titik fokus utama yang membuatkan setiap karya ros berlainan," katanya yang setakat ini telah menghasilkan lebih 300 lukisan ros pelbagai saiz. Malahan ros juga telah menerbangkan wanita yang mengalir darah berketurunan Cina dalam tubuhnya ke Eropah apabila dijemput menyertai festival seni La Artigiona De Fiera di Milan, tiga tahun lalu. Jiha ketika hadir di pameran lukisan apabila dia mengetengahkan bakat seninya di Milan beberapa tahun lalu. Ditanya tempoh untuk menyiapkan setiap lukisannya serta harga yang ditetapkan, kata wanita kecil molek ini, kebiasaannya antara dua minggu hingga dua bulan, mengikut saiz dan mood ketika itu, bagaimanapun harga yang ditawarkan adalah tidak menentu. Jadi tidak hairanlah, waktu cuti persekolahan sering digunakan untuk meluahkan perasaan pada kanvas, selain menumpukan perhatian kepada empat cahaya matanya, Behzad Khairiah Lee, 18; Muhammad Zuhayr Lee (15); Gibran Ghazi Lee (12) dan Idris Lee yang akan memasuki Tahun Dua pada Januari 2019. "Kepuasan diri paling utama, bukan menyiapkan kuntuman mawar itu untuk dijual semata-mata. Setiap kali depan kanvas, akan dipastikan jiwa serta perasaan diluahkan sepenuhnya," katanya yang menganggap seni adalah satu kelebihan untuk seseorang itu membina kehidupan kukuh, malahan tidak menolak ianya sinonim dengan budaya masyarakat Tionghua. Setakat ini, kanvas ros hasil kerja tangan anak keempat daripada lima beradik ini terpampang indah di Muzium Pekan dan yang paling besar bersaiz enam dua meter kali dua meter yang ditempatkan di Jabatan Audit Pahang. Bukan sahaja karya peribadinya, malahan guru berdedikasi ini sering meluangkan masa mencantikkan ruang di sekolah dia berkhidmat sejak 2003 serta tidak jemu-jemu mengatur pameran bersama rakan seangkatan untuk mengetengahkan hasil seni lukisan. Terkini, Langkarasa menjadi taruhannya bersama seorang lagi pendidik, Radzuan Md Diah masih berlangsung di ruang atas sebuah kafe di Kuantan sehingga akhir tahun ini. "Memang puas jika ada yang menghargai apa yang kita lakukan, tetapi masih ramai yang belum benar-benar mengutamakan hasil seni kerana lebih mengutamakan harga berbanding nilai sebenar sesuatu karya itu," katanya.