suria

Miniatur kampung halaman imbas nostalgia Ahmad Jafri, siap ada kisah cinta lagi!

Ahmad Jafri sanggup menghabiskan enam jam sehari demi menyiapkan kampung miniatur ini.

SEKALIPUN harta dimiliki segunung intan, ia tetap tidak dapat membeli masa silam.

Tetapi, seorang pemilik kedai alat permainan kanak-kanak di Puchong mempunyai cara tersendiri untuk mengembalikan kenangan masa mudanya.

Ahmad Jafri Saiman, 51, sanggup menghabiskan masa sekurang-kurangnya enam jam sehari untuk 'membina semula' kampung halamannya yang berlatar belakangkan tahun 1970-an.

Hanya di kampung sahaja anda boleh lihat bilik mandi yang ada telaga di luar rumah.

"Saya nak cari satu hobi yang boleh bangkit nostalgia, kembalikan benda yang dah tak ada dalam gambar.

"Dulu tahun 1970 dan 1980-an manalah mampu beli kamera, kamera pun tiada. Jadi kita tiada kenangan tu sebab ia dah lama berlalu," kata Ahmad Jafri
ketika ditemui mStar Online.

Unik betul nama kedai motosikal ni!

Tambah lelaki yang mesra disapa Abang Jeff ini, dia kini sedang menghasilkan perkampungan bersaiz mini berdasarkan ingatannya dan berharap dapat menghidupkan semula suasana itu untuk kepuasan dirinya sendiri.

Susun atur kampung tersebut adalah berdasarkan kampung halamannya suatu masa dulu dan selebihnya dibuat mengikut imaginasi, memandangkan ia agak mustahil untuk ditiru 100 peratus.

Siap ada sawah padi lagi.

"Kampung ni berskala kecil iaitu 1:35 dan kita boleh buat macam-macam.

"Mula-mula, saya belajar dekat YouTube macam mana idea nak buat tu dan sebahagiannya berkongsi dengan kawan-kawan yang mempunyai minat sama. Saya bertukar idea dengan mereka," ujarnya yang pernah menjadi pelukis di Pasar Seni.

Menurut bekas kartunis itu, minatnya terhadap pembuatan miniatur itu bermula kira-kira tiga tahun lalu hanya dengan menggunakan bahan semula jadi dan warna air yang biasa digunakan di sekolah.

Antara warna yang digunakan untuk menghasilkan projek miniatur ini.

Namun, selepas dua tahun, dia mula melakukannya secara serius dan lama-kelamaan mula mengumpul warna-warna khas yang berharga antara RM15 dan RM19 sebotol.

Biarpun hobinya boleh dikatakan agak mahal dan memerlukan masa yang lama untuk disiapkan, Ahmad Jafri berasa puas dengan hasil seninya kerana ia turut mendapat galakan daripada pengikutnya di Facebook.

Abang Jeff sedang mengadun warna untuk menghasilkan pelepah daun pisang.

Bercerita lanjut, kampung yang binaannya dinamakan Kampung Pasir Pekak dan mempunyai jalan cerita tersendiri bagi menghidupkan suasana desa yang dekat dengan masyarakat.

Kampung Pasir Pekak menjadi latar lokasi bagi percintaan tiga segi antara watak utamanya iaitu Abu dan Minah serta orang ketiga, si Jalut Semput.

Jalut Semput mengintai Abu dan Minah sedang 'dating'.

Setiap hari, Ahmad Jafri akan berkongsi tentang episod baharu percintaan Abu dan Minah dan beberapa watak sampingan lain berpandukan skrip rekaannya.

“Jalan cerita dan watak hanyalah rekaan. Skrip dah lama ada tapi bila bahan yang nak buat tu sukar didapati, saya terpaksa tukar skrip untuk disesuaikan dengan latar lokasi,” katanya.

Siapa agaknya yang akan dapat tawan hati Minah?

Ketika ditanya sama ada dia akan menjual projek miniatur tersebut, Ahmad Jafri tidak menolak kemungkinan itu jika harga yang ditawarkan bersesuaian dengan usaha yang dicurahkan.

Tambah bapa kepada tiga anak itu, Kampung Pasir Pekak yang menempatkan 35 buah rumah kampung itu sudah pun siap sepenuhnya pada Disember ini.

minatur, Kg Pasir Pekak, Ahmad Jafri

Artikel Lain