RUMAH kedai tiga tingkat di Taman Sri Muda, Shah Alam ini mungkin nampak biasa-biasa, tetapi sebenarnya ia menjadi 'syurga' dunia buat kira-kira 400 penghuninya. Memasuki premis, penulis menaiki anak tangga satu demi satu, sambil diperhatikan oleh beberapa penghuninya yang comel tapi di sudut hati lahir perasaan belas kasihan. Sebahagian kucing yang ditempatkan di pusat jagaan yang diuruskan Nurul Ain dan suami. Seandainya boleh berbicara, si bulus yang menghuni premis itu pasti mahu meluahkan rasa betapa bertuah mereka dijaga oleh sepasang suami isteri yang berhati mulia. Pemilik pusat jagaan dan perlindungan kucing, S.I Home Shelter, Nurul Ain Abdul Hamid, 27, berkata, terdapat kucing terbiar dibuang di jalanan, dilanggar kereta malah ada yang terjatuh dari bangunan menjadi penghuni di pusat itu. Nurul Ain dan suami, Muhamad Razeef Che Shamah, 39, membangunkan pusat itu pada 2014, bagaimanapun mereka mula menyelamatkan kucing sejak sebelum berkahwin lagi. Kucing yang cedera dan terkena jangkitan turut menghuni pusat perlindungan ini. Haiwan jinak ini pengikat jodoh mereka sehingga mendirikan rumah tangga apabila Nurul Ain yang masih menuntut di universiti pada 2013 menyelamatkan seekor kucing yang dilanggar kereta, dan kemudian dijaga Muhamad Razeef ketika itu. “Pada mulanya kami mengambil kucing-kucing jalanan yang ditangkap pihak berkuasa tempatan dan melindungi mereka sebelum diambil oleh keluarga baharu. “Dari kira-kira 150 kucing yang ditempatkan di rumah teres milik tunang yang kini suami saya, pusat ini dibuka sehingga pernah mencecah 600 ekor,” katanya ketika ditemui mStar Online di pusat jagaan dan perlindungan itu, baru-baru ini. Antara kucing yang dirawat. Muhamad Razeef berkata, kira-kira RM15,000 diperuntukkan untuk pengurusan kucing di pusat perlindungan, di rumah teres dan pusat perlindungan untuk anjing di lokasi berlainan, termasuk sewa, gaji pekerja, makanan dan perubatan. Bapa seorang cahaya mata berumur dua tahun itu memberitahu, sebuah syarikat pengeluar makanan kucing menaja 80 kilogram (kg) daripada 450kg makanan yang diperlukan, manakala sebahagian besar kos ditanggung mereka selain sumbangan orang ramai. “Tapi nak cari sumbangan ni memang susah. Kadang-kadang saya terpaksa DM (mesej peribadi) setiap rakan di Facebook untuk bantu mendapatkan dana. “Kadang-kadang dapat, kadang-kadang tak. Kalau tak ada, kena guna duit simpanan. Saya pengumpul motor retro, jadi pernah terpaksa jual motor untuk biaya pusat perlindungan ni. Dah jual empat motor,” katanya yang menjalankan bisnes automotif. Menjaga dan merawat kira-kira 400 kucing memerlukan perbelanjaan yang besar. Disebabkan pusat perlindungan semakin padat dengan kucing yang semakin banyak, mereka kini lebih menumpukan kucing berpenyakit serius, cedera atau mengalami kecacatan. Nurul Ain yang turut dibantu empat pekerja berkata, kebanyakan kucing di pusat itu cedera atau terkena jangkitan, termasuk 15 kucing lumpuh dan enam kucing buta. “Kami tidak mementingkan kuantiti, tetapi sebaliknya kualiti. Mana-mana kucing sakit atau cedera akan dirawat sehingga sembuh sementara bantu mencari keluarga baharu, manakala kucing-kucing yang dalam keadaan teruk akan terus dijaga hingga pulih,” katanya. Kucing-kucing akan dirawat dan dijaga sementara menemui keluarga baharu. Bagi Nurul Ain, paling menyentuh emosinya adalah seekor kucing yang diberi nama Masai sempena lokasi ia ditemui di Johor hampir dua tahun lalu, kerana menghidap kanser tulang tahap empat. “Mulanya kami sangka ia hanya fungus berdarah, sehinggalah doktor veterinar sahkan ia kanser. Kami ikhtiar buat pembedahan, walaupun berjaya malangnya ketumbuhan lain pula muncul di bahagian lain sehingga berlubang-lubang kepalanya,” katanya sambil menambah bahawa Masai merupakan kucing kedua yang menghidap kanser yang dijaganya selepas Benji yang mati akibat penyakit itu. Masai (kiri) dan Benji, dua kucing yang menghidap kanser. Foto Nurul Ain Abdul Hamid Namun, Tuhan lebih sayangkan Masai apabila dijemput Ilahi pada 20 Januari lalu dan Nurul Ain reda di atas pemergian kucing kesayangannya itu. “Pelbagai usaha dibuat untuk selamatkan Masai, tapi takdir sudah menentukan. Saya puas dapat beri kasih sayang sepenuhnya kepada Masai di saat-saat akhirnya,” katanya sambil menitiskan air mata. Kalau kita tak suka kucing atau anjing, kita tak perlu menganiaya haiwan. Dunia ini bukan milik kita. Nurul Ain Abdul Hamid Pemilik S.I Home Shelter Nurul Ain menjaga setiap kucing dengan penuh kasih sayang. Mengenai kes penderaan haiwan seperti kucing dan anjing sejak kebelakangan ini, Nurul Ain kesal dengan tindakan tidak berperikemanusian itu. “Bagi saya, ia adalah masalah individu itu sendiri. Kalau kita tak suka kucing atau anjing, kita tak perlu menganiaya haiwan. Dunia ini bukan milik kita. “Ada sebab Allah SWT ciptakan haiwan-haiwan. Kalau kucing jalanan berak merata-merata tu pun sebenarnya adalah ujian, menguji tahap kesabaran kita," katanya.