suria

“Macam saya tengok emas” Rita Sosilawati kumpul glob salji, ada yang emas 24K!

Rita Sosilawati mula mengumpul koleksi glob salji dan glob air sejak lebih sedekad lalu. Foto NUR ATHIRAH FARHANA

DUNIA magis kartun Disney nampaknya memberi inspirasi kepada usahawan kosmetik ini untuk mempunyai koleksi yang diminatinya.

Walaupun bergelar isteri dan ibu, Rita Sosilawati, 34, secara terbuka berkongsi hobi mengumpul glob salji dan glob air sejak lebih sedekad lalu.

Rita atau nama sebenarnya Erni Dekritawati Yuliana Bukhari berkata, setiap orang mempunyai sisi kanak-kanak meskipun usia menginjak dewasa, termasuk dirinya.

“Saya suka benda-benda yang menggembirakan saya. Bila digoncangkan glob tu, akan nampak serpihan salji dan membuatkan saya rasa tenang. 

“Kalau ada glob yang mengeluarkan bunyi, dapat menghilangkan tekanan,” katanya ketika ditemui mStar Online di kediamannya di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Mengumpul glob salji merupakan sebahagian daripada sisi kanak-kanak Rita berinspirasikan dunia magis Disney.

Rita berkata, kebiasaannya sesiapa yang melancong atau mengembara pasti membawa pulang sesuatu sebagai tanda kenang-kenangan seperti cenderamata.

“Biasanya orang akan beli magnet peti sejuk atau baju, tapi saya memilih untuk mengumpul glob salji atau glob air,” katanya yang kini mempunyai lebih 100 glob.

Mak pernah tanya kenapa ni kakak (panggilan untuk Rita), membazir ni. Memang takut kena marah, tapi saya cuba yakinkan mak mengenai minat saya ni dan mak izinkan untuk membelinya.

RITA SOSILAWATI

Anak sulung daripada enam beradik ini mula mengumpul glob salji itu semasa arwah ibunya, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya masih ada tetapi tidak begitu serius.

Antara koleksi unik glob salji dan glob air dikumpul Rita.

Mengimbas kembali memori pada 2009, Rita menemani ibunya membeli kelengkapan dapur di Stoke, United Kingdom (UK), dan tertarik dengan sebiji glob salji yang dijual di sebuah gedung.

“Harganya 49 pound, masa tu 1 pound bersamaan dengan kira-kira RM7, dianggarkan RM350 sebiji, jadi bayangkanlah mahal. Saya cuba memujuk mak untuk membeli.

“Mak pernah tanya kenapa ni kakak (panggilan untuk Rita), membazir ni. Memang takut kena marah, tapi saya cuba yakinkan mak mengenai minat saya ni dan mak izinkan untuk membelinya,” katanya sambil menambah ketika itu dia sedang melanjutkan pengajian Sarjana Perniagaan Antarabangsa di Universiti Nottingham Trent di UK.

Kenangan... glob salji yang dibeli bersama arwah ibunya.

Pada awalnya, Rita hanya menyimpan kesemua glob itu di dalam bilik tetapi ia kemudian menarik perhatian ibunya apabila koleksi tersebut semakin bertambah.

“Mak kata cantiklah kakak! Mak terus kemas rak di ruang tamu dan susun semua glob tu khas untuk saya. Sejak itu, saya tak pernah ubahnya ke tempat lain, hanya tambah koleksi saja,” ujarnya sambil menambah suaminya turut menyokong minatnya itu.

Glob salji yang dibeli sewaktu Rita bercuti ke Sepanyol.

Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, bukan semua tempat yang dikunjunginya menjual glob tersebut, malah ada yang sukar untuk dicari seperti di Korea Selatan.

“Puas saya cari sana sini, tapi tak jumpa sampai hampir putus asa. Sampailah hari kelima iaitu hari terakhir kami nak pulang ke Malaysia, saya dapat jumpa glob salji tu di lapangan terbang,” katanya mengenai percutiannya, beberapa tahun lalu.

Glob salji yang mempunyai serpihan emas 24k. 

Glob salji paling disukai Rita adalah yang dibelinya di Venice, Itali kerana bentuknya sangat unik menyerupai gondola, seperti perahu yang menjadi tarikan pelancong.

Antara pilihan lain adalah yang dibeli semasa berkunjung ke The Pinnacles di Australia Barat dekat Perth, kerana serpihan saljinya diperbuat daripada emas 24 Karat (24K), yang dijual pada harga AUD29 (RM84).

Rita menyifatkan memilih glob salji sebagai sesuatu yang mencabar.

Rita berkata, amat mencabar untuk memilih glob salji kerana dia menyukai yang mempunyai perincian halus dan teliti, pastinya ada air dan serpihan di dalamnya.

“Kalau baju nampak cantik, kita akan beli. Tapi kalau glob salji, saya akan periksa terlebih dahulu airnya tidak gelembung, replika dan perkataan yang tertera pada bekas glob itu perlu lengkap, jelas dan kemas.

“Cara saya tengok glob tu, orang akan fikir macam saya tengok emas. Tak kisahlah bentuk apa pun, asalkan ada air di dalamnnya. Kalau ada serpihan seperti salji tu lagi saya suka!,” katanya dengan nada teruja.

Artikel Lain