PADA pandangan mata orang lain, tumbuhan yang hidup di tepian longkang mungkin tiada apa yang istimewa. Namun tidak bagi Fathihah Athirah Hasnor, 25, yang menganggap bunga liar yang tumbuh di tepi longkang dan parit itu cukup indah untuk diabadikan menjadi sebuah karya seni. Ketika menjejakkan kaki ke halaman rumahnya yang terletak di Batang Kali, Hulu Selangor, senyuman manis anak perempuan tunggal daripada empat beradik itu menyambut mesra kedatangan penulis. Pelajar Ijazah Sarjana Pengajian Landskap dari Universiti Putra Malaysia tersebut menjemput penulis melihat ruang kerjanya yang terletak di bengkel bersebelahan rumah. Thirah menghasilkan karya 'floating flowers' di bengkel berhampiran rumahnya. “Di sinilah saya menyiapkan ‘floating flowers’ bila ada masa terluang,” katanya yang menumpang bengkel kerja bapa saudaranya. ‘Floating flowers’ itu diperbuat daripada bunga-bunga atau dedaun kering yang ditekan (press) menggunakan buku atau papan sehingga ia menjadi rata sebelum disusun di atas lapisan kaca untuk dibingkaikan. Ketika ditanya tentang sumber inspirasi untuk menghasilkan karya tersebut, pelajar yang mesra disapa Thirah itu berkata, semuanya tercetus selepas dia gemar mengumpul bunga-bunga liar yang dijumpai ketika bercuti ke pelbagai destinasi. Karya ini juga tampak lebih menarik apabila diselitkan dengan kata-kata pujangga. “Saya suka alam semula jadi dan sebelum ini kalau ternampak daun atau bunga liar yang cantik-cantik ketika bercuti di luar negara, saya akan kutip dan bawa balik ke Malaysia. “Kemudian, terlintas di fikiran untuk bingkaikan bunga-bunga ini, tapi saya tak tahu caranya. “Tengok harga bingkai dekat kedai agak mahal, jadi saya cari idea di Pinterest dan terjumpa idea macam ini. Ia murah dan bahan-bahanya mudah diperoleh,” katanya kepada mStar Online. Tambah Thirah, dia menggunakan kaca segi empat sama bersaiz 15 sentimeter, B5 dan A4 untuk menghasilkan ‘floating flowers’ tersebut. Kebanyakan bunga-bunga ni saya tidak petik kerana nanti terbit rasa serba-salah, saya hanya akan ambil bunga atau daun yang sudah gugur. FATHIHAH ATHIRAH Selain Pinterest, artis yang sering menjadi rujukan Thirah adalah pemilik akaun Instagram @kmpress, Karly Murphy dari Virginia, Amerika Syarikat yang sering tampil dengan idea unik dalam setiap karyanya. Bagi mahasiswa ini, hobi tersebut bukan sahaja boleh membuatkan dirinya lupa seketika dengan tekanan yang ditempuh sepanjang meneruskan pengajian, malahan menjadi satu bentuk eskapisme yang memberikan kepuasan tersendiri. “Cara ini buat saya lebih menghargai alam sekitar memandangkan saya sendiri ada latar belakang pendidikan dalam bidang seni bina landskap. “Kebanyakan bunga-bunga ni saya tidak petik kerana nanti terbit rasa serba-salah, saya hanya akan ambil bunga atau daun yang sudah gugur. “Bagi saya bunga liar itu cantik, walaupun ada yang tak pandang sebab tumbuh di tepi longkang, setiap bunga ada kecantikan sendiri,” ujarnya. Thirah menyusun bunga-bunga kering di atas papan kaca sebelum ia dibingkaikan menggunakan pita pelekat gangsa. Menurut pelajar itu lagi, hobi tersebut turut mengajarnya lebih mengenali karakter setiap bunga dan daun yang ada dalam simpanannya. Kata Thirah: “Ada sesetengah jenis bunga tak sesuai untuk kita press. Kadang-kadang ia akan berlumut atau berkulat, daripada situ kita lebih kenal karakter tumbuhan itu. “Ada beberapa cara juga nak press bunga, saya biasa gunakan buku-buku yang tebal dan papan penekan yang saya direka sendiri.” Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan ‘floating flowers’ ini, harga yang ditawarkan oleh Thirah adalah serendah RM15 hingga RM50 seunit. Hasil seni ini amat sesuai buat mereka yang mencari kelainan untuk memberikan hadiah kepada individu tersayang.